Input your search keywords and press Enter.

BOTAK CHIN

Botak Chin atau nama sebenarnya Wong Swee Chin dilahirkan dalam keluarga yang ramai iaitu sebanyak 10 orang adik beradik di Kuala Lumpur pada tahun 1951. Dia mendapat pendidikan di sekolah rendah jenis Cina di Sentul sebelum melajutkan pelajaran di sekolah Inggeris.

Kehidupan awalnya agak susah kerana dia terpaksa berhenti sekolah seawal 15 tahun dan terpaksa bekerja sebagai pembantu pasar di pasar borong. Disebabkan kawasan tersebut dikuasai oleh kongsi gelap (Geng 360), Botak Chin terpengaruh dengan dakyah ini dan menyertai kumpulan gangster ini.

Selepas kematian ibunya, dia banyak terlibat dengan jenayah-jenayah kecil seperti mencuri bersama rakan-rakannya. Dia bersama dua orang rakannya melakukan rompakan pertama mereka pada 19 April 1969 di mana dua orang rakannya itu memiliki pistol sendiri.

Setelah rompakan pertamanya, dia membuat keputusan untuk mendapat senjatanya sendiri iaitu revolver.22 lalu menubuhkan kumpulannya sendiri. Dalam sebulan sahaja dia telah melakukan 8 rompakan pada September 1969 namun malang tidak berbau apabila kegiatannya berjaya ditumpaskan oleh pihak polis. Dia dihantar ke penjara selama 7 tahun dan kemudian dibebaskan pada November 1973.

Setelah dibebaskan, dia cuba untuk berubah menjadi seperti orang biasa namun untung daripada menjual sayur sudah tentu tidak dapat memenuhi nafsunya sendiri. Dia kemudiannya mengambil keputusan untuk kembali bergiat aktif pada April 1975 dengan 3 orang rakan baru iaitu Ah Wong, Pangkor Chin dan Seh Chai. Setelah membeli senjata api daripada Thailand, dia terus melakukan rompakannya pada 2 Jun di sebuah pusat perjudian haram dengan keuntungan RM5800.

Rompakan Botak Chin dan rakan-rakannya pada 2 Julai berjaya mengutip sehingga RM95,000 daripada sebuah bank di Jalan Imbi. Dia mendapat RM25,000 daripada keseluruhannya dan wang itu dia gunakan untuk membeli kereta Datsun. Rompakan mereka seterusnya terletak di sebuah kuil Cina di Jalan Kolam Ayer dan RM10,000 wang berjaya dilarikan bersama beberapa barang kemas.

Kes rompakan ini mendapat perhatian polis dan terutamanya Deputi Superintendan S Kulasingam yang mana dia ditugaskan untuk memburu Botak Chin sehingga dia diberkas. Pasukan polis terus memburunya tanpa henti dan akhirnya pada bulan September, polis dapat mengesan kereta Alfa Romeo yang dicuri oleh Botak Chin dan rakan-rakannya.

Walau bagaimanapun polis gagal memberkas Botak Chin kerana dia berjaya melarikan diri bersama rakan-rakan setelah mereka merampas kereta Volvo milik pegawai bank. Rompakan terbesar mereka berlaku pada 26 Oktober 1975 dan mereka berjaya merompak sebanyak RM218,000 selepas menembak pengawal keselamatan di Kelab Lumba Kuda.

Setelah lama menjadi ketua, ramai yang iri hati dengan Botak Chin. Ini menyebabkan rakannya sendiri Ah Wong dan seorang ketua geng Lima Jari Gunung iaitu Tua Pui Lek ditembak mati olehnya di kawasan lombong tinggalan di Jinjang. Seh Chai iaitu seorang lagi rakannya telah membunuh diri selepas dikepung oleh pihak polis di Jalan Aor.

Setelah lama diburu, akhirnya Botak Chin berjaya diberkas pada malam 16 Februari 1976 setelah perancangan rapi dibuat oleh pihak polis. Sejarah tercipta apabila Botak Chin menjadi orang pertama mengaku bersalah apabila didakwa oleh Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Dia dihukum mati mandatori dan digantung pada 11 Jun 1981 di Penjara Pudu.

Fakta menarik tentang Botak Chin walaupun ada perkataan botak dalam namanya tetapi dia sendiri mempunyai gaya rambut yang tersendiri. Sebenarnya Botak itu dikatakan akronim bagi Bantu Orang Tidak Ada Kerja.

Leave a Reply