M Update, 17/1/2019 – Dua pemain Sepanyol beraksi bersama Manchester United, Juan Mata dan David de Gea kelihatan ceria selepas menikmati makan tengahari di restoran Itali, semalam.
Mereka menikmati menu di Ristorante Piccolino terletak di perkampungan Hale, kira-kira 14 kilometer dari padang latihan United di Carrington, Greater Manchester.
Dua pemain bintang terbabit kemudian dilihat meninggalkan restoran dengan menaiki kereta berprestasi tinggi, Aston Martin pada jam 5 petang waktu UK (1 pagi waktu Malaysia).
Mata memandu kereta model DB9 bernilai £140,000 (RM741,000) manakala penjaga gol United itu memacu V8 Vantage berharga £120,000 (RM636,000).
Gelagat mereka bergurau serta ketawa terserlah selepas skuad itu melalui episod baru dalam Liga Perdana (EPL) selepas Jose Mourinho dipecat, bulan lalu.
Malah, kejayaan The Red Devils menewaskan Tottenham di Wembley, Ahad lalu bermakna mereka meraih enam kemenangan berturut-turut di bawah pengurus sementara, Ole Gunnar Solskjaer.
De Gea mempamer kehebatan ketika menentang Spurs dengan menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya untuk mengekalkan kelebihan tipis pasukannya sehingga tamat perlawanan.
Kelab Old Trafford itu akan meneruskan saingan apabila menanti kunjungan Brighton, Sabtu ini.
Sumber: Harian Metro