Input your search keywords and press Enter.

IDEOLOGI KOMUNIS DI TANAH MELAYU

Ideologi komunis tiba di Tanah Melayu pada tahun1920-an terutamanya di sekitar tahun 1925. Imigran Cina telah membawa buku-buku dan risalah-risalah mengenai ajaran komunis dan disebarkan di kalangan orang Cina di Tanah Melayu. Hasil dari kegiatan mereka, guru-guru dan murid-murid sekolah Cina telah menubuhkan Liga Belia Komunis di Singapura pada tahun 1926. Sehingga 1927, komunis di Tanah Melayu bergerak di sebalik Parti Kuomintang (KMT) kerana wujudnya kerjasama antara Parti Komunis China (PKC) dan KMT di China. Perpecahan KMT-PKC pada tahun 1927 telah menyebabkan PKC menghantar 5 orang wakilnya ke Tanah Melayu. Mereka telah berjaya menubuhkan Parti Komunis Nanyang di Singapura pada tahun 1927. Agen-agen Comintern atau Komunis Antarabangsa yang tiba di Tanah Melayu pada tahun 1928 telah mencadangkan supaya Parti Komunis Nanyang disusun semula. Pada 6 April 1930, satu persidangan komunis telah diadakan di Singapura dan hasilnya lahirlah Parti Komunis Malaya (PKM) yang beribu pejabat di Singapura. Perkembangan pesat fahaman komunis di Singapura dikaitkan dengan penduduk negara itu yang majoritinya berbangsa Cina.

PKM telah berkembang baik dan diarah untuk menyelia gerakan komunis di Thailand dan Indonesia selain menjalankan kegiatannya di Tanah Melayu. PKM telah diletakkan di bawah Biro Komunis Antarabangsa Timur Jauh yang berpusat di Shanghai. Sejak ditubuhkan, PKM terpaksa menjalankan kegiatan mereka secara sulit kerana parti ini diharamkan disebabkan kegiatan anti-British yang dijalankan dianggap mengganggu ketenteraman awam. Perkembangan PKM seterusnya menghadapi pelbagai ancaman dari pentadbiran British dan dari masa ke masa pemimpin mereka diberkas. Bagi British ancaman komunis bukan sahaja merupakan soal keselamatan malah lebih dari itu.

PENDUDUKAN JEPUN (1941-1945)

Semasa Tanah Melayu mula dijajah oleh angkatan Jepun pada awal Disember 1941, PKM telah mempunyai kekuatan dari segi jumlah ahli dan juga logistik. Apabila berlakunya peperangan di antara Jepun dan juga Berikat, pihak PKM mula mendapat tawaran untuk membantu pihak British untuk berperang melawan askar –askar Jepun. PKM telah menerima tawaran yang diketengahkan dan menyediakan tenaga kerja untuk dihantar berperang. Sebuah sekolah perang ditubuhkan yang dikenali sebagai Sekolah Latihan Khas  101 yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Spencer Chapman. PKM yang parti dulunya semasa pendudukan kemudiannya menjadi Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya atau Malayan People’s anti-Japanese Army (MPAJA).

Pada 19 Disember tahun yang sama juga, PKM telah melancarkan “Malayan Overseas Chinese Anti-Japanese Mobilization Society”. Kumpulan ini terdiri daripada beberapa gabungan organisasi seperti Kuomintang, Chinese Chamber of Commerce dan beberapa kumpulan yang lain dan dikenali dengan jolokan Dalforce . Dalam masa yang sama, kerjasama dilakukan oleh PKM bersama dengan pihak British pada 21 Disember 1941. Empat teras utama perjanjian dilaksanakan iaitu menyatukan semua rakyat Tanah Melayu untuk menentang kemaraan askar Jepun dan membantu pihak British mempertahankan Tanah Melayu, membekalkan senjata api kepada ahli PKM dan rakyat yang lain untuk menghadapi kemaraan tentera imperialis Jepun, membasmi dan menyingkirkan ahli-ahli yang belot dan ejen kepada Jepun serta menentang pendudukan Jepun menerusi peperangan gerila .

Ekoran daripada perjanjian dengan pihak British, buat pertama kalinya PKM telah menugaskan komrad-komrad untuk bergerak secara terbuka, menyebarkan propaganda parti melalui radio dan surat khabar. Selain itu juga, PKM dengan rasminya telah menubuhkan sayap bersenjata parti yang dikenali dengan nama Rejimen Pertama MPAJA pada 1 Januari 1942. Selain itu juga, terdapat empat lagi rejimen bersenjata yang rata-ratanya terdiri daripada lepasan Sekolah Latihan Khas 101 yang ditempatkan di Selangor, Negeri Sembilan, utara dan selatan Johor.  Semasa pendudukan Jepun, Parti Komunis Malaya (PKM) berusaha untuk memperkuatkan organisasi mereka. Ianya bertujuan untuk berperang dengan askar-askar Jepun dan juga berkemungkinan berperang dengan tentera-tentera British yang dijangka akan datang semula sekiranya bala tentera Jepun dapat dikalahkan. Kerjasama yang telah terjalin di antara PKM dan British hanyalah satu helah PKM dan bukannya satu polisi atau matlamat jangka panjang.Matlamat utama PKM hanyalah menghalau penjajah British keluar dari Tanah Melayu dan seterusnya mentadbir Tanah Melayu dengan sistem pemerintahan diktator.

KEMARAAN PKM

Setelah berakhirnya Perang Dunia Ke-2, Parti Komunis Malaya merupakan sebuah parti yang paling tersusun organisasinya berbanding dengan parti-parti yang lain di Tanah Melayu. Kebebasan dan kelonggaran yang diberikan oleh pihak British mendorong pemerintah tertinggi PKM melaksanakan beberapa agenda untuk menguatkan pengaruh parti. Selain mengukuhkan pengaruh komunisme di dalam kesatuan sekerja, PKM turut melancarkan propaganda dalam bidang pendidikan aliran Cina. Menjelang Jun 1948 keadaan semakin gawat dan tegang. Kerajaan tidak mampu mengawal keadaan dengan cara biasa kerana adanya kegelisahan dan pemogokan di beberapa tempat. Terdapat banyak faktor yang telah mendorong PKM melancarkan pemberontakan terhadap kerajaan British. Ia meliputi faktor yang sedang berlaku di Tanah Melayu pada masa itu dan faktor perkembangan komunisme antarabangsa.

Menjelang pertengahan tahun 1948, pihak PKM semakin mempergiatkan usaha-usaha bagi mencetuskan kacau bilau di Tanah Melayu. Keadaan keselamatan semakin serius dan dalam sidang akhbarnya pada 13 Jun 1948, Sir Edward Gent, Pesuruhjaya Tinggi, menjelaskan sekurangkurangnya 13 kejadian serius telah tercetus di beberapa tempat di seluruh negara, termasuk 10 kes pembunuhan dan 3 kejadian serangan ke atas pengurus-pengurus estet getah. Jenayah kekerasan ini tercetus hasil agitasi anasir ekstremis yang mencabar kekuasaan kerajaan. Tiga hari selepas sidang akhbar tersebut 3 orang peladang Inggeris terbunuh di Sungai Siput, Perak oleh sekumpulan orang bersenjata.

Akibat dari itu peristiwa tersebut Perisytiharan Darurat secara umumnya telah dibuat bermula pada 16 Jun 1948 di Sungai Siput dan Ipoh di Perak. Ia kemudiannya telah diikuti beberapa kawasan di Johor, antaranya Kluang, Muar, Kulai dan Plentong. Keesokan harinya pada 17 Jun 1948, perisytiharan pemerintahan darurat telah dibuat meliputi seluruh negeri Perak dan Johor. Akhirnya pada 18 Jun 1948, “Perisytiharan Pemerintahan Darurat” telah dibuat oleh Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Edward Gent meliputi seluruh Tanah Melayu. Perisytiharan darurat di Singapura telah dibuat pada 24 Jun 1948.

Leave a Reply