Islam amat menitikberatkan soal-soal aqidah, syariah dan akhlak. Segala amalan dan kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada sumber-sumber asal Al-Quran, Hadith, Ijmak dan Qias adalah ditolak. Dalam urusan perubatan kepada pesakit, satu oerkara harus diingat oleh semua pihak, bahawa Allah sahaja berkuasa mutlak menentukan sesuatu dan menjadikannya lebih-lebih lagi sakit dan sembuh adalah hak-Nya, manusia hanyalah disuruh berusaha dan berikhtiar.
Di Malaysia, umat Islam ada kepercayaan dan amalan-amalan tradisi tertentu dan sedikit sebanyak ada hubungkait dengan pangaruh dari fahaman ananisme, dianisme, Hindu dan lain-lain. Islam tidak membenarkan umatnya menggunakan sihir kerana Rasulullah s.a.w bersabda :
“Jauhilah tujuh perkara yang merosakkan”. Para sahabat bertanya, “apakah tujuh perkara itu?. “Baginda menjawab: “menyekutukan Allah, sihir, membunuh orang tanpa hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari medan perang dan menuduh perempuan baik melakukan maksiat terkutuk”. (Hadith riwayat al-Bukhari, Kitab Sahih al-Bukhari. Kitabul Huduh, Bab 44, m.s,33)
Dalam sejarah Islam memang wujud cara perubatan tertentu sepertimana yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Selain dari cara pengubatan biasa, mereka juga telah menggunakan doa-doa, khusus bagi mengubati penyakit-penyakit sepertimana yang terdapat di dalam buku-buku perubatan ini. Walau bagaimanapun, mereka tiddak menggunakan kaedah atau kepercayaan yang difahami oleh sesetengah pihak yang tidak dikehendaki syarak seperti memanggil roh datuk nenek, roh wali-wali, syeikh-syeikh dan khadam-khadam tertentu.
Jampi ialah perlindungan yang dijampi kepada seseorang yang menghidap sakit seperti demam, pening dan lain-lain penyakit. Dalam bahasa Arab, jampi dikenali dengan al-Qura atau al-Ruqyah. Oleh itu, kita dibolehkan untuk melakukan jampi kepada diri, kaum keluarga atau orang lain yang ditimpa kesusahan, kerana jampi/al-Ruqyah merupakan doa perlindungan berdasarkan syarak. Jika lain dari itu, perlu dilihat adakah ia berlawanan dengan syarak atau tidak.