Input your search keywords and press Enter.

AJARAN QADIANI DI MALAYSIA

Kedatangan ajaran Qadiani ke Malaysia dipercayai pada awal tahun 1930-an.dan penyebarnya yang pertama dipercayai Maulana Husin Iyaz yang datang ke Singapura pada tahun 1935 dan pejabatnya ialah di No. 116, Unan Road, Singaoura 15. Melalui pengkalannya di situ beliau menyebarkan ajaran ini. Selepas Maulana Husin Iyaz, datang pula Maulana Mohd. Sadiq bin Barakatullah pada 22hb. Disember 1949 sebagai wakil penyebarnya di sini. Kemasukan ajaran Qadiani ke Malaysia ini telah ditentang hebat oleh ulama-ulama Islam.

Di Jeram, Selangor ketua Qadiani di situ iaitu Syed Abdul rahman bin Syed Alwi telah meminta Sultan Selangor mengadakan penyelidikan ke atas ajaran ini pada bulan Mei 1951. Pada 23hb. Julai 1951 satu majlis perbahasan telah diadakan di hadapan baginda di Istana Selangor, Kuala Lumpur. Pihak Qadiani diwakili oleh Mohd Sadiq Barakatullah dan Mohd Zuhdi Fadhli. Pihak ulama Islam diwakili oleh Sheikh Mahmud Zuhdi dan ulama-ulama di Pejabat Agama Islam Negeri Selangor. Keputusan perbincangan ialah bahawa golongan Qadiani tidak diiktiraf sebagai golongan Islam malah terkeluar dari Islam.

Berkenaan kedudukan Ahmadiah/Qadiani di Malaysia sekarang, sejak berlakunya dialog antara Ketua Ahmadiah/Qadiani dengan ulama-ulama tempatan yang berlangsung di hadapan Sultan Selangor dalam tahun 1951 itu, ajaran ini menjadi makin lemah dan tidak mempunyai pemimpin yang benar-benar dikenali. Lebih-lebih lagi kerana ajaran ini tidak diiktiraf sebagai ajaran Islam yang sebenar. Dengan demikian, ianya tidak dapat berkembang ke seluruh negara, cuma hidup di tempat yang ia telah lahir sebelum itu.

Di Selangor, antara tempat-tempat yang terdapat penganut-penganut ajaran ini ialah Jeram, Sungai Tua, Sungai Buloh, dan Kampung Nakhoda. Di Jeram, ada kira-kira 40 orang pengikut (lelaki dan perempuan) di sini. Terdapat tanah perkuburan mereka sendiri yang diberi oleh Pegawai Daerah Inggeris pada tahun 1954. Luasnya kira-kira dua ekar. Di Sungai Tua, kira-kira 20 orang pengikut ( lelaki dan peremmpuan) terdapat di sini. Pengikut Ahmadiah/Qadiani dari Melaka datang berkumpul di sini. Di Sungai Buloh pula, terdapat sebuah surau Ahmadiah / Qadiani yang berharga kira – kira RM1600 . Surau ini dibina daripada derma pengikut-pengikut ajaran itu. Manakala di Kampung Nakhoda, pengikutnya di sini masih kuat berpegang ajaran ini. Mereka terdiri daripada kira-kira lima keluarga. Terdapat sebuah ‘masjid’ Qadiani yang digunakan untuk mereka sahaja.

Di negeri-negeri lain di Malaysia, selain dari Selangor, terdapat juga pengikut ajaran Ahmadiah/Qadiani ini. Tetapi mereka itu tidak diketahui orangnya. Mungkin kerana jumlahnya terlalu kecil. Tiap-tiap pengikut ajaran ini dikehendaki mengeluarkan 1/16 daripada pendapatan harian mereka kepada tabung kumpulan ini. Buat masa ini, penganut Ahmadiah/Qadiani adalah semakin berkurangan kerana di kalangan mereka ramai yang telah bertaubat dan anggota baru hampir tidak ada langsung. Gerakan mengembangkan ajaran ini telah lama berhenti dan orang ramai umumnya mengetahui ajaran ini adalah bertentangan dengan Islam.

Leave a Reply