Input your search keywords and press Enter.

TRAGEDI BEKOR 5 MAC 1946

Kampung Bekor adalah sebuah penempatan Melayu di tepi Sungai Perak dengan penduduk seramai 400 orang. Pusat penempatan adalah dua deretan rumah kedai di jalan utama yang diduduki oleh peniaga-peniaga bangsa Cina yang dikelilingi oleh perkampungan Melayu. Pengangkutan utama adalah menggunakan perahu, memandangkan tiada jalan darat yang menghubungi Bekor dengan pekan-pekan utama lain seperti Parit dan Kuala Kangsar. Jalan darat yang ada hanyalah lorong pejalan kaki yang hanya boleh dilalui oleh pejalan kaki atau berbasikal.

Semasa era pendudukan tentera Jepun di Malaya,Bekor merupakan tempat penduduk Malaya berbangsa Cina lari menyelamatkan diri dari kekejaman tentera Jepun. Ini adalah kerana kawasannya yang terpencil dan mungkin tidak mempunyai apa-apa kepentingan strategik kepada pihak Jepun. Pihak Koumintang dan Malayan People’s Anti Japanese Army (MPAJA) turut menjadikan Bekor sebagai tempat persembunyian dan operasi. Bekor mempunyai laluan selamat ke Sungai Siput yang ketika itu merupakan kawasan utama MPAJA.

Apabila tentera Jepun menyerah diri secara mengejut pada 15 Ogos 1945, pasukan tentera British yang pertama tiba di Malaya pada 3 September 1945. Hanya pada 12 September 1945, British Military Administration (BMA) ditubuhkan di Kuala Lumpur. Bermula tarikh itu, BMA telah diberi mandat untuk memerintah Malaya. MPAJA bagaimanapun enggan menyerahkan senjata walaupun pasukan mereka seramai 6,800 anggota telah dibubarkan dengan rasmi oleh BMA. Di anggarkan 4,000 anggota MPAJA yang terlatih dikekalkan dan sebahagian besar senjata disorokkan oleh mereka.

Sepanjang kekosongan kuasa (15 Ogos 1945 hingga 3 September 1945), MPAJA telah keluar dari persembunyian dihutan-hutan dan mendirikan pentadbiran dikawasan yang mereka kuasai. Pihak MPAJA yang mempunyai pengaruh yang kuat di Bekor telah menjadikan Bekor sebagai pusat pentadbiran untuk daerah Kuala Kangsar. MPAJA telah menjadikan sebuah sekolah di Bekor sebagai pejabat mereka, dan disinilah arahan-arahan dikeluarkan untuk memburu musuh-musuh mereka yang dahulunya penyokong kepada pemerintahan tentera Jepun. Unit-unit pemburu MPAJA ini juga terdiri dari anggota-anggota berbangsa Melayu selain majoritinya Cina. Sekolah tersebut juga dijadikan markas operasi untuk menyoal siasat, menyeksa dan membunuh individu yang bersimpati dengan Jepun.

Apabila tentera British telah kembali menduduki Malaya, MPAJA diberi kata dua supaya berundur dari kawasan-kawasan yang telah mereka kuasai. Dengan ini, MPAJA telah memindahkan markas mereka dari Bekor ke tempat baru berhampiran Sungai Siput. Penduduk-penduduk Cina juga telah berpindah dari Bekor kerana khuatir akan tindakbalas British jika berlaku permusuhan antara kedua pihak dan sebahagian besar dari mereka telah berpindah ke Manong. Berlainan pula dengan penduduk Melayu yang pernah menyertai MPAJA, mereka kini berada di dalam dilema kerana tujuan utama menyertai MPAJA adalah kerana hendak membebaskan diri dari penindasan Jepun. Dengan kembalinya keamanan, perjuangan MPAJA dilihat seperti sudah tidak relevan, mentelah lagi mereka tidak boleh menerima ideologi komunisme yang diperjuangkan oleh MPAJA. Mungkin kerana faktor ini, penduduk Bekor dianggap sebagai satu ancaman kepada MPAJA kerana mereka tahu bagaimana cara MPAJA beroperasi, termasuk juga jalan-jalan rahsia dan lokasi kem-kem rahsia MPAJA. Keadaan ini telah menimbulkan suasana tegang antara MPAJA dan orang Melayu, Menurut salah seorang penduduk yang telah terselamat melalui peristiwa tersebut, beliau masih ingat seorang kawan bapanya yang berbangsa Cina telah beberapa kali datang ke rumahnya dan meminta mereka berpindah kerana keselamatan mereka tidak lagi terjamin jika mereka terus tinggal di Bekor.

Pada 5 Mac 1946, tepat jam 5:30 pagi gerombolan yang disyaki MPAJA, orang-orang Cina dan juga beberapa orang Melayu (dianggarkan mencecah 1,000 orang) telah mara ke Bekor dari kawasan-kawasan bukit tempat mereka bermalam sebelumnya. Jambatan yang menghubungi Bekor dan Mandah telah dipasang dengan jerangkap samar bagi menghalang bantuan orang-orang Melayu tiba dari Mandah. Pasukan penyerang telah dibahagikan kepada dua kumpulan, dimana kumpulan pertama bertanggungjawab membakar rumah-rumah, dan apabila penghuninya keluar, pasukan kedua akan membunuh mereka. Tiada senjata api digunakan, kesemua mereka bersenjatakan tombak, pedang atau parang mungkin kerana hendak mengelakkan bunyi letupan senjata yang boleh didengar jelas pada waktu subuh.

Dalam kegelapan subuh, terkejut dan suasana kelam kabut, ramai penduduk telah dapat dibunuh, namun ada juga yang sempat melawan dengan bersenjatakan pedang dan parang. Penduduk Bekor tidak mudah menyerah kalah, mereka melawan bermati-matian dan pertempuran berlanjutan sehingga matahari meninggi. Antara pertempuran sengit adalah di perkarangan rumah Uda Mashyur, dimana ia dipertahankan oleh 7 lelaki sehinggalah mereka semua terbunuh. Ketua kampung, Tuan Haji Muhammad Ali mendapat cedera ditangan setelah berjaya membunuh beberapa penyerang. Bagi wanita dan kanak-kanak yang terselamat, mereka telah terjun kesungai dan berlindung dengan kegelapan untuk menyelamatkan diri. Akhirnya pada kira-kira jam 11 pagi, gerombolan yang menyerang telah mula berundur membawa bersama kesemua mayat kawan-kawan mereka yang terbunuh.

Hanya pada waktu tengahari barulah penduduk kawasan berdekatan memasuki Bekor. Mereka yang terkorban dikebumikan di tempat mereka dibunuh, tanpa kapan dan dianggap syahid. Kebanyakan yang tewas berjuang dalam kumpulan dikuburkan bersama. Keesokkannya pasukan tentera Gurkha tiba tetapi anggota pasukan gerombolan yang menyerang telah menghilangkan diri tanpa dapat dikesan. Kesemua penduduk Bekor dibawa ke Balai Polis Manong dan ditempatkan selama sebulan disana sebagai pelarian. Mungkin kerana hubungan yang baik antara orang-orang Cina dan penduduk Melayu di Bekor, selepas kejadian itu maklumat rahsia mengenai serangan telah dibocorkan. Menurut beberapa keluarga Cina, setiap keluarga dikerah untuk menghantar wakil menyertai serangan tersebut dan jika enggan, wang sebanyak 25 Ringgit hendaklah dijadikan penebus diri. Pada tahun 1946, tambah lagi selepas perang tidak banyak keluarga yang mampu mengadakan 25 Ringgit. Apa pun, motifnya bukanlah perkauman kerana terdapat para penyerang yang terdiri dari orang Melayu juga, serta amaran-amaran awal yang diberikan oleh orang-orang Cina kepada kawan-kawan mereka yang berbangsa Melayu menunjukkan keakraban hubungan antara kaum di Bekor ketika itu.

Tragedi Bekor adalah peristiwa hitam di dalam episod sejarah negara yang mungkin masih ramai tidak tahu. Kubur-kubur mereka yang terbunuh manjadi bukti kepada peristiwa tersebut.

Leave a Reply