Input your search keywords and press Enter.

Istilah Ahli Sunnah Wal Jamaah diambil dan dirumuskan oleh ulama berdasarkan hadis-hadis Nabi SAW.

ANTARANYA HADIS YANG DIRIWAYATKAN OLEH AT-TIRMIDZI DARIPADA ABDULLAH BIN AMR RA BAHAWA RASULULLAH SAW BERSABDA:

Maksudnya: “Sesungguhnya telah berpecah Bani Israel kepada tujuh puluh dua kelompok. Manakala umatku akan berpecah kepada tujuh puluh tiga kelompok di mana kesemuanya akan ke neraka kecuali satu kelompok. Mereka bertanya: ‘Siapakah mereka itu wahai Rasulullah?’ Baginda SAW menjawab: ‘Mereka ialah golongan yang berpegang kepada ajaranku dan para Sahabatku.’.”

BEGITU JUGA HADIS YANG DIRIWAYATKAN OLEH IBN MAJAH DARIPADA ANAS BIN MALIK RA BAHAWA RASULULLAH SAW BERSABDA:

Maksudnya: “Sesungguhnya telah berpecah Bani Israel kepada tujuh puluh satu kelompok dan umatku akan berpecah kepada tujuh puluh dua kelompok di mana kesemuanya akan ke neraka kecuali Al-Jamaah (iaitu kelompok dan majoriti umat).”

Berdasarkan riwayat hadis tersebut dan riwayat-riwayat lain yang sama erti dengannya, para ulama telah membuat kesimpulan bahawa maksud mereka yang mengikut sunnah Rasulullah SAW dan para Sahabat adalah golongan ASWJ. Akidah ASWJ adalah satu pegangan yang berakar umbi daripada ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan para Sahabat Baginda. Kemudian, ia disusun dengan lebih bersistem dan teguh oleh ulama-ulama terkemudian terutamanya dua tokoh utama imam ASWJ iaitu, Imam Abu Al-Hassan Al-Ash’ari dan Imam Abu Mansur AlMaturidi.

Akidah ASWJ merupakan ajaran yang betul, lurus, selamat, jelas dan tiada kekeliruan padanya. Antara ciri-ciri utama pegangan akidah ASWJ adalah pertama, berpegang dan mentafsirkan hukum-hukum Islam berdasarkan empat sumber utama iaitu Al-Qur’an, As-Sunnah, ijmak dan qias tanpa mengabaikan peranan atau kepentingan setiap satu daripadanya.

Kedua, berpegang pada ajaran Islam yang meliputi perkara berkaitan iman (akidah), Islam (syariat) dan ihsan (akhlak) atau sifat kehambaan.

Ketiga, berpegang pada Al-Qur’an yang dihimpunkan oleh para Sahabat terutamanya Al-Qur’an yang dikenali sebagai Mashaf Uthmani serta As-Sunnah terutamanya hadis-hadis yang dihimpunkan oleh ulama besar hadis seperti Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmidzi, Abu Daud, Imam Nasa’i, Ibnu Majah dan imamimam lain yang diiktiraf.

 Keempat, berkepercayaan bahawa para Sahabat kesemuanya bersikap benar dan adil tanpa mengkufurkan salah seorang daripada mereka terutamanya para Khulafa’ Ar-Rasyidin iaitu Sayidina Abu Bakar As-Siddiq RA, Sayidina Umar Al-Khattab RA, Sayidina Uthman Bin Affan RA dan Sayidina Ali Bin Abi Thalib RA.

Kelima, percaya dan beriman kepada perkara-perkara ghaib terutamanya yang sabit melalui Al-Qur’an dan As-Sunnah seperti seksaan azab kubur, pembalasan syurga dan neraka dan sebagainya.

Keenam, tidak mengkufurkan saudara seIslam atau yang berkiblatkan Kaabah (Ahl Al-Qiblah) dengan mudah kecuali dengan pertimbangan ilmu yang adil sesuai dengan kebenaran.

Ketujuh, kesederhanaan dalam kepercayaan dan pengamalan iaitu tidak terlalu ekstrem dan tidak terlalu cuai (bayna ifrat wa tafrit).

Inilah antara ciri-ciri utama pegangan akidah ASWJ yang perlu kita perhatikan agar ia dipraktikkan dalam kepercayaan (akidah), pengamalan (syariat) dan keperibadian (akhlak) kita sebagai seorang Muslim. Sesungguhnya, apabila wujud kepercayaan, pengamalan dan keperibadian yang menyalahi ciriciri tersebut maka ditakuti ia bukan berdasarkan akidah ASWJ yang dijanjikan selamat daripada penyelewengan dan kesesatan.

Sumber – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)

Leave a Reply