Input your search keywords and press Enter.

RASHID MAIDIN, PEMIMPIN KANAN MELAYU DALAM PARTI KOMUNIS MALAYA

Rashid dilahirkan di Kampung Gunung Mesah, Gopeng pada 10 Oktober 1917. Gunung Mesah terletak di tepi jalan utama antara Gopeng dengan Ipoh. Di sini ada perkampungan Melayu yang dipenuhi rumah-rumah papan dan sekarang bertukar kepada rumah batu separuh. Rashid dikatakan dilahir dalam sebuah keluarga miskin di Kampung Gunung Mesah, Gopeng. Dia adalah anak sulung daripada lapan adik-beradik. Rashid tamat pendidikan sekolah rendah sehingga darjah lima di sekolah Melayu tetapi kemudiannya mengikuti kursus bahasa Inggeris di sekolah malam dan juga belajar melalui pos.

Akhirnya, dia memiliki kemahiran yang mencukupi serta penguasaan bahasa yang baik untuk bekerja sebagai seorang juruteknik di lombong bijih timah British di kawasan Batu Gajah dan Tanjung Tualang di Perak. Sejak kecil lagi, dia dikatakan amat tertarik dengan cerita mengenai panglima Melayu seperti Datuk Maharajalela berjuang menentang penjajahan British di Perak tetapi apabila mula bekerja, tumpuannya hanya untuk mencari sumber pendapatan bagi menampung keluarganya di Gopeng. Pada tahun 1939 yang mana pada ketika berusia 22 tahun, Rashid bertemu dengan Tu Lung Shan yang ditugaskan mencari ahli baru PKM di Tanjung Tualang.

Kumpulan pimpinan Tu Lung Shan ditugaskan oleh pihak parti untuk menganjurkan aktiviti di kawasan sekitar Tanjung Tualang. Pada masa itu, Tu Lung Shan baru berusia 17 tahun dan Perang Dunia Kedua sudahpun bermula di Eropah yang menyaksikan tentera Jerman menyerang Poland. Pada mulanya, Rashid menyertai Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang kemudian diharamkan oleh kerajaan British kerana dituduh berhaluan kiri dan menentang British secara menyeluruh. Ketika berjuang dalam PKMM, Rashid pernah ditahan beberapa kali oleh kerajaan British di pusat tahanan Tanjung Beruas, Melaka serta di Larkin, Taiping, Morib dan Tanjung Beruas. Dia pernah mengetuai mogok lapar dalam pusat tahanan tersebut bersama Pak Sako. Sebagai orang tahanan, mereka dibenarkan bekerja di luar pusat tahanan dan upah yang diberi ialah 75 sen sehari.

Rashid menyertai Parti Komunis Malaya (PKM) pada tahun 1941 sejurus sebelum pendudukan Jepun dan menjadi ahli jawatankuasa pusat PKM bersama Ishak Haji Mohamad (Pak Sako), Ahmad Boestamam dan Abdullah C.D di Perak. Parti Komunis Malaya ditubuhkan pada 30 April 1930. Pada 18 Disember 1941, PKM telah memeterai persefahaman dengan pihak British di Singapura untuk menubuhkan barisan bersatu untuk menghalang pergerakan Jepun ke selatan Semenanjung dan untuk melatih pemimpin PKM dan anggotanya dalam operasi khas menentang musuh. Mengikut catatan sejarah di pihak British dan PKM, seramai 165 anggota komunis, termasuk Tu Lung Shan dilihat menjalani latihan di Sekolah Latihan Khas 101 (STS101) di Singapura sebaik sahaja perjanjian itu dicapai sehinggalah kejatuhan pulau itu pada 15 Februari 1942. Walaupun menyokong gerila anti-Jepun, namun Rashid sekadar bertindak sebagai perisik dan melakukan kerja-kerja belakang tabir yang tidak terlibat secara langsung dengan penentangan bersenjata. Rashid memilih PKM sebagai wadah perjuangan yang baru.

Leave a Reply