M Update, 28/1/2019 – Satu setengah dekad yang lalu, Munira Ibrahim Amer akan berdiri di laman rumahnya di perkampungan Mas’ha setiap pagi untuk melihat kegiatan harian penduduk.
Menurut laporan al-Jazeera, wanita itu masih ingat bagaimana kumpulan kanak-kanak saling ketawa antara satu sama lain ketika ke sekolah, puluhan kenderaan ke tempat kerja dan peniaga mula membuka kedai untuk mencari rezeki.
Namun kini apa yang dapat dilihat Munira, 54, dari laman rumahnya adalah tembok konkrit yang teguh berdiri.
“Kadang-kadang saya sudah terbiasa dengan pemandangan seperti ini kerana adalah sukar untuk tanggung perasaan sedih serta marah setiap hari,” katanya.
Rejim Zionis mengiktiraf penempatan haram Yahudi di Elkana pada 1977 dan kawasan perumahan tersebut diluaskan sepanjang beberapa dekad dan kini menempatkan kira-kira 3,884 penduduk Yahudi.
Pada 2002, apabila Israel mula membina tembok pemisah yang diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa, beberapa kediaman yang berhampiran penempatan Yahudi turut menerima kesan.
Tembok itu dianggarkan sepanjang 712 kilometer apabila siap kelak iaitu dua kali ganda lebih panjang berbanding tembok Garisan Hijau yang memisahkan Palestin dengan Israel.
PAGAR KAWAT BERDURI
Menurut kumpulan hak asasi manusia, B’Tselem, 85 peratus struktur tembok dipenuhi kawat berduri elektrik dan dibina dalam wilayah Palestin yang dijajah, memisahkan penduduk Palestin dari tanah air mereka.
Tembok pemisah itu dibina di depan rumah Munira dan kawasan pagarnya dipasang pada tiga bahagian, memisahkan keluarganya dari unit penempatan Israel yang terletak beberapa meter depan rumah mereka.
Sebelum Elkana dibangunkan, tanah di kawasan tersebut dijadikan kawasan pertanian.
Suami Munira, Hani Amer, 61, berkata, kesemua penduduknya adalah petani dan menghabiskan kehidupan dengan berbakti kepada tanah terutama ketika musim menuai buah zaitun.
“Semuanya sudah tidak wujud malah tiada yang ingin pandang kampung ini kerana apa yang mereka nampak cuma tanah yang dijajah,” jelasnya.
Keluarga Munira cuba menghentikan pembinaan tembok dan berhasil selama sebulan apabila puluhan penduduk tempatan, kumpulan aktivis antarabangsa serta Israel berkampung di depan rumah mereka sebagai tanda sokongan.
Bagaimanapun, rejim Zionis menempatkan 500 anggota tentera dan polis bagi menyuraikan tunjuk perasaan, menyaksikan banyak penduduk Palestin serta Israel ditahan dan aktivis antarabangsa dihantar pulang.
Hani pula terpaksa menyaksikan kedai bunga miliknya yang terletak di depan rumah dirobohkan.
15 MINIT JADI TIGA JAM
Satu lagi hartanah keluarga Munira yang menjadi mangsa kekejaman Israel adalah ladang ternakan yang sebelum ini mempunyai 500 ekor ayam.
Namun, selepas ladang tersebut dimusnahkan, Israel memutuskan untuk menukar laluan pembinaan, malah tanah milik Hani seluas 11 hektar juga menjadi sasaran Zionis.
Selepas mengadakan demonstrasi bantahan dengan bantuan organisasi kemanusiaan, Hani berjaya menyelamatkan kira-kira lapan hektar tanahnya daripada dirampas.
Sebelum tembok itu dibangunkan, Hani hanya memerlukan masa kira-kira 15 minit untuk ke tanahnya, namun kini dia terpaksa menghabiskan masa selama tiga jam untuk sampai ke kawasan itu.
Hani turut mendedahkan keluarganya dilayan seperti penjenayah apabila Israel membina pintu kecil di tembok berkenaan bagi membolehkan keluarganya keluar serta masuk, namun orang luar tidak dibenarkan mengikutinya.
“Kami tidak dibenarkan membawa tetamu ke rumah dan mengambil masa selama tujuh tahun untuk mendapat kebenaran daripada Israel supaya orang luar boleh datang ke rumah kami. Bagaimanapun, kami masih diawasi dengan banyak kamera dan tentera Israel akan berkawal sekiranya ada wartawan asing mengambil gambar di sekitar rumah kami,” jelasnya.
Sumber: Utusan Malaysia, Al-Jazeera