M Update, 29/1/2019 – Konflik selatan Filipina sejak setengah abad lalu menampakkan sinar kedamaian apabila kira-kira dua juta penduduk di wilayah berkenaan yang kebanyakannya beragama Islam buat kali pertama mengundi untuk menubuhkan pemerintahan Islam Bangsamoro di Mindanao.
Referendum tersebut diwujudkan enam tahun selepas perjanjian perdamaian antara kerajaan Filipina dengan perjuangan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan selepas Presiden, Rodrigo Duterte meluluskan Undang-undang Organik Bangsamoro (BOL).
Hasilnya, lebih sejuta pengundi mengatakan ‘ya’ terhadap referendum itu, entiti politik yang dicadangkan akan menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM).
ARMM sebelum ini dianggap gagal, terpalit dengan jenayah rasuah dan mengabaikan penduduk di beberapa wilayah Islam di negara tersebut.
Bagaimanapun, kerajaan Filipina dan gerakan pemberontak tersebut berharap pemerintahan baharu akan lebih inklusif, bertahan lama dan berdaya saing.
Fasa pertama undian berlangsung 21 Januari lalu di dua bandar, Cotabato dan Isabela.
Menerusi proses tersebut, pengundi memilih sama ada mereka mahu bandar-bandar didiami menjadi sebahagian pemerintahan baharu Bangsamoro.
Proses (pilihan raya) berjalan aman dan disifatkan pemantau antarabangsa sebagai ‘meyakinkan’.
Cadangan itu dijangka lulus, namun berdasarkan keputusan tidak rasmi, penentangan daripada penduduk di Sulu dan bandar Isabela dilihat cukup ketara.
Pengundian fasa kedua akan berlangsung 6 Februari depan merangkumi beberapa kawasan termasuk Lanao del Norte, utara Cotabato dan wilayah-wilayah lain yang memohon untuk menjadi sebahagian kawasan pemerintahan Bangsamoro.
Sebagai Presiden Filipina pertama dari Mindanao, Duterte menjadikan Bangsamoro sebagai tema kepada pusat pemerintahannya.
Berbeza dengan Presiden Filipina terdahulu, beliau mendedikasikan sepenuh hati dan perjuangan politiknya untuk memastikan pemerintahan berpaksi agama Kristian negara itu menyokong penuh BOL.
Berdasarkan kajian, hanya sejumlah minoriti daripada keseluruhan populasi Filipina menyokong pembentukan Bangsamoro, walaupun lapan persepuluh warga Filipina Islam menyokong entiti tersebut.
Penduduk Islam Moro selama berabad lamanya berdepan diskriminasi dan dipinggirkan oleh kerajaan Filipina yang berkiblatkan agama Kristian Katolik.
Mereka dianggap seperti warga asing dan sering dipandang sebagai golongan tidak bertamadun dan tiada nilai-nilai kenegaraan.
Berpegang teguh pada sejarah bangsa, budaya dan tradisi, bangsa Moro menolak sepenuhnya undang-undang dan pengaruh kerajaan Pusat.
Berbekal keberanian dalam berpolitik, Duterte sebelum ini menjadikan keamanan di Mindanao sebagai salah satu kempen utamanya.
“Jika saya dipilih menjadi Presiden, jika perjuangan dirahmati sebelum menutup mata, saya akan serahkan Mindanao kepada anda semua dengan pemerintahan yang aman,” katanya.
Duterte menganggap dirinya sebagai Presiden untuk bangsa Moro, yang akan berjuang memberi keadilan yang dirampas daripada golongan itu sejak sekian lama.
Sumber: Utusan Malaysia