M Update, 31/1/2019 – Musim sejuk dan salji bukan lagi milik eksklusif Barat kerana selain beberapa wilayah di Timur, semakin banyak negara tropika dan padang pasir mengalami fenomena itu.
Seawal 2016, beberapa negara Asia dan Asia Tenggara berdepan musim sejuk paling buruk melanda rantau itu dalam masa 60 tahun ketika suhu terus menjunam.
Taiwan, paling teruk terjejas apabila 85 kematian dicatat pada 24 Januari lalu, akibat kesejukan melampau. Dilaporkan lebih 100 penduduk maut di Asia akibat fenomena ini.
Laporan menyatakan kebanyakan kematian berpunca daripada hiportemia dan penyakit kardiovaskular apabila golongan berisiko terdedah kepada cuaca sejuk luar biasa.
Salji setebal sembilan sentimeter meliputi kemuncak tertinggi Taiwan, Gunung Jade. Pihak berkuasa memberi amaran supaya penduduk tidak terdedah kepada cuaca sejuk selepas seorang lelaki berusia 56 tahun ditemui mati di jalan raya.
Kebanyakan rumah di negara subtropika Taiwan tidak mempunyai sistem pemanas pusat dan keadaan sejuk itu menyebabkan masalah jantung serta pernafasan untuk kebanyakan mangsa.
Menurut Biro Cuaca Pusat Taiwan, biasanya suhu di ibu kota, Taipei berada sekitar 16 darjah Celsius pada bulan Januari.
Hong Kong, China, Korea Selatan dan Jepun turut terkena tempias suhu sejuk beku yang menjejaskan sistem pengangkutan, gangguan bekalan elektrik dan telekomunikasi.
Di Korea Selatan, pulau peranginan terkenal, Jeju, menyaksikan salji lebat dalam tempoh tiga dekad, menyebabkan lapangan terbang terpaksa ditutup dan ratusan penerbangan dibatalkan dengan hampir 90,000 penumpang terkandas di pulau itu.
Pentadbir Kaji Cuaca Korea (KMA) berkata, negara itu mencatatkan rekod musim sejuk paling teruk kali ini dengan suhu menjunam kepada -18 darjah Celsius di ibu kota Seoul, kali pertama sejak 2001.
Sementara di Hong Kong, penduduk pulau itu berdepan suhu serendah 3 darjah Celsius, paling rendah dalam masa hampir 60 tahun dengan beberapa bahagian kepulauan itu mengalami fros teruk.
Empat petani strawberi maut
Gambar Hong Kong menerima salji pertama dalam masa beberapa dekad memenuhi media sosial, namun agensi kaji cuaca berkata ia cuma hujan yang turut bersama ketulan air kecil, bukan salji.
Jika suhu mencecah 0 darjah Celsius, ia adalah yang terendah dalam tempoh 120 tahun.
China sudah pun mengeluarkan amaran kuning, tahap ketiga dalam sistem empat tahap, untuk cuaca teruk.
Beijing menyaksikan suhu turun sehingga -17 darjah Celsius pada 25 Januari lalu, manakala wilayah di utara negara itu mungkin berdepan suhu serendah -40 darjah Celsius.
Agensi Xinhua melaporkan, cuaca sejuk menjurus kepada kematian empat petani strawberi yang maut akibat keracunan karbon monoksida apabila mereka menghidupkan pemanas dalam rumah hijau di wilayah Anhui di timur China.
Seorang wanita pula maut di barat daya selepas pagar di balkoni tingkat 24 kediamannya patah ketika mangsa bersandar untuk melihat salji pertama di Chongqing dalam tempoh 20 tahun, menyebabkannya terjatuh.
Keadaan itu juga bertepatan dengan permulaan perjalanan 40 hari untuk menyambut Tahun Baharu Cina bermula 8 Februari ini, mengganggu lalu lintas. Lebih 11,000 penumpang terkandas di lapangan terbang Kunming di selatan wilayah Yunnan.
Suhu terendah
Biro Meteorologi Nasional meramalkan suhu di selatan China akan menurun tambahan tiga hingga lapan darjah Celsius Isnin ini.
Di Shanghai, suhu terendah dalam 35 tahun direkodkan pada 24 Januari lalu dengan -7.2 darjah Celsius, tidak pernah dialami bandar raya itu sejak tahun 1981.
Akhbar People’s Daily melaporkan, bandar raya Guangzhou merekodkan salji pertama turun sejak tahun 1929. Pekerja kecemasan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dengan beberapa penerbangan dibatalkan dan lebuh raya ditutup.
Keadaan tidak jauh beza di Jepun dengan agensi berita Kyodo melaporkan lapan maut manakala lebih 100 cedera dalam kemalangan berkaitan cuaca buruk di seluruh negara itu.
Sejuk luar biasa turut terkena tempias sejauh ke selatan di Okinama, sebuah pulau subtropika terkenal dengan musim sejuk sederhana. Satu lagi pulau selatan, Amami Oshima, merekodkan salji pertama dalam tempoh lebih sekurun lalu.
Rantau Asia Tenggara juga dilanda cuaca sejuk melampau dengan utara Laos dan Vietnam menyaksikan salji turun di kebanyakan kawasan di San Neua, Nong Het dan Phphonsavan.
Cetus banjir, ribut
Bangkok, yang jarang mengalami suhu di bawah 20 darjah Celsius, mencatat 16 darjah Celsius Ahad lalu manakala Vietnam mengalami cuaca paling sejuk dalam masa dua dekad hujung minggu lalu dengan Hanoi merekod suhu enam darjah Celsius.
Cuaca sejuk melampau di Thailand meragut 12 nyawa Rabu lalu dan kematian mereka dikaitkan dengan pendedahan keadaan luar biasa itu atau penyakit pernafasan, menurut seorang pegawai Jabatan Pencegahan Bencana dan Mitigasi kepada agensi DPA. Dua lagi maut sebelum itu di wilayah Chai Nat, juga dikaitkan dengan penurunan suhu.
Keadaan sejuk itu menyebabkan suhu menjunam ke paras 5 darjah Celsius di sesetengah kawasan.
Selain itu, tekanan tinggi mencetuskan kejadian banjir dan ribut di selatan Thailand dengan lebih 3,000 isi rumah terjejas, menurut jabatan berkenaan.
Amaran cuaca buruk dikeluarkan di beberapa wilayah timur laut dan tentera memberi bantuan termasuk jaket dan makanan.
Sumber : Berita Harian