M Update, 7/2/2019 – Carbon Black, penyedia keselamatan titik akhir generasi akan datang menerusi awan mendapati sejuta cubaan serangan siber direkodkan setiap hari secara purata pada 2018.
Menurut Data Ancaman Global Carbon Black, jumlah itu berdasarkan kajian dilakukan terhadap pelanggannya merangkumi sebanyak 15 juta titik hujung global.
Katanya, lima industri utama menerima serangan siber pada 2018 adalah komputer/elektronik, penjagaan kesihatan, perkhidmatan perniagaan, perisian/internet dan pembuatan.
“Purata titik akhir yang dilindungi oleh Carbon Black menjadi sasaran oleh dua serangan siber setiap bulan sepanjang 2018.
“Pada kadar ini, sebuah organisasi yang mempunyai 10,000 titik akhir dianggarkan melihat lebih 660 cubaan serangan siber setiap hari,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tahun 2016 diibaratkan sebagai The Year of the Fileless Attack, 2017: The Year of Ransomware dan 2018: The Year of the Next-Gen Cyberattack.
Sepanjang tahun lepas, industri menyaksikan beberapa serangan siber berprofil tinggi dan berskala global.
Singapura menyaksikan kebocoran data paling besar dengan serangan terhadap SingHealth yang menjejaskan data peribadi seramai 1.5 juta pesakit.
Berbilion rekod peribadi lain telah dicuri pada 2018 meliputi sektor kerajaan, teknologi, penjagaan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti.
Masalah serius itu menyebabkan ketegangan geopolitik semakin meningkat di antara negara demokrasi barat dan negara-negara seperti Rusia, China dan Korea Utara.
Sumber: Air Utusan Online