Input your search keywords and press Enter.

SERANGAN KOMUNIS DI KAMPUNG KOK MAK,PERLIS

Pada hari Rabu, 10 Disember 1969, pengganas komunis telah meletupkan landasan keretapi di Kampung Kok Mak, iaitu lebih burang 5km dari Padang Besar pada waktu malam. Komunis telah menggunakan 200 hingga 250 paun bahan letupan untuk membinasakan jambatan landasan keretapi tersebut. Serangan tersebut dikatakan dilakukan oleh 20-30 orang pengganas komunis dan diantara meraka mungkin terdapat pakar-pakar letupan.

Mereka mensabotaj pekhidmatan keretapi untuk menjatuhkan ekonomi Malaysia. Mereka memasuki Malaysia dengan menyeberangi sempadan di Polo Tiam, iaitu salah satu tempat persembunyian mereka. Oleh kerana itu, tentera-tentera Malaysia telah memperhebatkan gerakan untuk memburu pengganas-pengganas tersebut, namun mereka telah melarikan diri menuju ke seberang sempadan Thailand. Pasukan keselamatan Malaysia juga meminta bantuan Polis Thailand untuk memburu gerombolan komunis tersebut, namun mereka tidak berjaya ditangkap.

Pada hari Ahad, 15 Disember 1969, satu lagi serangan pengganas komunis terjadi di Padang Besar. Pengganas komunis telah melepaskan kira-kira 15 das tembakan ke arah belakang Balai Polis Padang Besar pada pukul 9 malam. Bagaimanapun, tidak ada sebarang korban jiwa atau kerosakan pada bangunan balai dan bangunan sekitar dalam serangan malam tersebut. Seorang koperal yang bertugas di balai polis yang terletak hanya 1km dari sempadan Malaysia-Thailand itu telah membunyikan gong kecemasan dengan segera sejurus tembakan itu terjadi. Maka terjadilah tembakan serangan balas dari angota-angota polis yang bertugas ketika itu. Setelah beberapa lama aksi tembak-menembak itu, gerombolan komunis tersebut melarikan diri menyeberangi sempadan Thailand. Pengganas komunis yang melakukan serangan itu dikatakan berjumlah antara 5 hingga 10 orang. Mereka melepaskan tembakan dari kawasan semak lalang tebal di belakang sebuah sekolah Cina kira-kira 350m dari balai polis Padang Besar itu. Namun tembakan-tembakan yang dilepaskan itu dikatakan banyak mengenai pokok asam besar yang tumbuh diantara balai polis dan sekolah Cina itu.

Peristiwa tembak-menembak ini walau bagaimanapun tidak mencemaskan penduduk Padang Besar yang berjumlah kira-kira 3000 orang ketika itu. Mereka menjalankan aktiviti seperti biasa pada keesokan harinya. Sekali lagi pasukan tentera tambahan dikejarkan ke sempadan untuk memburu pengganas komunis itu disertai pasukan Polis Thailand. Namun mereka tidak mudah ditemukan. Jalan raya yang menghubungkan Padang Besar-Thailand bagaimanapun tidak ditutup. Rakyat Malaysia dan Thailand bebas berulang alik menyeberangi sempadan dari pukul 6 pagi hingga 6 petang setiap hari namun kawasan keselamatan diperketatkan. Selain dari serangan-serangan yang dilakukan untuk mengancam pasukan keselamatan Malaysia, pihak komunis juga menyebarkan propaganda mereka kepada penduduk-penduduk sekitar sempadan Malaysia-Thailand, terutamanya penduduk Padang Besar.

Pihak komunis juga telah menyebarkan idelogi itu melalui radio, malah turut menghasilkan komik komunis untuk menarik minat golongan muda. Propaganda mereka dihiasi dengan janji-janji yang indah-indah untuk memenangi hati rakyat agar menyokong mereka. Keadaan Padang Besar yang mundur ketika itu dibandingkan kawasan-kawasan lain sememangnya menjadi sasaran empuk mereka untuk mempengaruhi penduduk. Namun matlamat komunis tidak berjaya.

Leave a Reply