Input your search keywords and press Enter.

SERANGAN KOMUNIS KE ATAS BALAI POLIS SEDILI BESAR

Kekejaman yang dilakukan terhadap anggota yang bertugas di balai begitu mengerikan dan amat kejam .Tragedi ini menimpa lapan anggota Polis yang bertugas di Balai Polis Sedili Besar. Kota Tinggi, Johor. Pihak Jepun telah ditewaskan oleh Tentera Berikat. Pasukan Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) yang ketika itu mula dikenali dengan Bintang Tiga menguasai kawasan yang terpencil ini dan telah menunjukkan kekuatan sebenarnya mereka.

Keadaan keselamatan yang masih samar-samar dengan sistem pentadbiran yang belum pulih sepenuhnya menjadikan Bintang Tiga mengisyitharkan kepada masyarakat setempat merekalah yang menjadi pemerintah ketika itu. Sebenarnya Kuala Sedili ketika itu tidaklah menerima impak yang besar akan kalahnya Jepun di Tanah Melayu, namun kewujudan Pasukan Bintang Tiga (MPAJA) memang telah diketahui apatah lagi kawasan sekitar khususnya Mukim Kambau dan Sedeli ramai terdapat penduduk bangsa cina yang menjadikan perladangan getah dan perhiagaan sebagai kegiatan harian mereka sementara Masyarakat Melayu menjadikan Nelayan sebagai sumber pendapatan mereka.

Kedatangan Bulan Ramadan Al Mubarak disambut secara kewajipan biasa memandangkan zaman itu sumber ekonominya agak terhad ditambah dengan kecelaruan perang yang baru sahaja tamat. Pada pagi subuh semasa kejadian  terdengar bunyi seolah ada orang sedang berjalan dengan membunyikan isyarat – isyarat yang tidak difahami tetapi ia bukan suara binatang. Dari celah-celah papan dinding rumah ada saksi bangkit melihat apa yang berlaku. Penduduk kampung melihat dengan jelas susuk tubuh pasukan beruniform gelap bintang tiga sambil mengayakan topi di depan mempunyai bintang tiga, menghampiri balai yang hanya tidak sampai 10 kaki dari rumah berada. Tidak sedetik pun bunyi yang didengari kerana ketakutan namun ternyata susuk-susuk tubuh tersebut mula mengelilingi balai polis yang ternyata tidak ada sentri atau pengawal itu atau mungkin pengawalnya tertidur.

Bagaikan sepasukan polis membuat serbuan jeritan buka dan tendang pintu kedengaran dengan bahasa yang agak pelat kecinaan. Ada saksi yang nampak ada seorang terjun dari tepi balai yang tentunya polis langsung masuk dalam perigi berhampiran. Kemudian saya nampak susuk tubuh lain menerpa ke arah lubang perigi dan letupan senapang kedengaran dari arah perigi.” Di ikat pada pokok Kelapa dan dijatuhi hukuman tembak Letupan senapang awal pagi itu telah memecah kesunyian serta menambah ketakutan orang kampung dan keluarga, manalah tau kalau-kalau gerombolan tersebut mengetuk rumah mereka pula. Langit pagi semakin cerah dan tidak lama kemudian kedengaran arahan dalam bahasa melayu pelat kecinaan meminta semua orang Kampong Sedeli Besar berkumpul di satu tempat. Kelihatan  6,7 anggota balai polis tersebut terikat di batang pokok kelapa berhampiran balai polis.  Ada dua orang tentera Jepun juga di ikat pada pokok yang berhampiran. Kemudian dilihat senjata di halakan ke arah tentera Jepun berkenaan dan kedua mati terkulai di tembak di hadapan orang-orang kampong. Keadaan senyap sepi, ketakutan menyelubungi kawasan persekitaran.

Letusan sekali lagi kali ini agak membingitkan dan anggota-anggota polis tersebut terkulai mati dalam keadaan masih terikat pada pokok kelapa. Keadaan senyap sunyi tadinya menjadi hingar bingar dengan jeritan anak-anak kecil yang terkejut. Kemudian keadaan menjadi senyap dan sunyi semula. Selepas itu seseorang yang dilihat sebagai ketua mengarahkan orang ramai berkumpul dan tidak lama kemudian mereka mula mengagihkan kepingan biskut. Ia kemudian disusuli dengan ucapan dari orang yang dilihat sebagai ketua tetapi ketua itu berucap dalam bahasa Cina yang tidak  difahami maknanya. Pihak Komunis kemudiannya pergi dari tempat tersebut, tiada seorang pun dari orang kampong yang mampu menghalang akan kekejaman yang dilakukan. Apa yang mereka mampu sebaik sahaja pihak Bintang Tiga beredar meninggalkan tempat tersebut mereka meleraikan ikatan terhadap tubuh-tubuh yang tidak bernyawa itu dan melaksanakan tanggungjawab sebagai muslim iaitu mengebumikan jenazah anggota polis berasal dari kampong tersebut sementara anggota polis yang lainnya di bawa ke kampong halaman mereka sebaik sahaja bantuan dari Ibu Pejabat Daerah Polis Kota Tinggi sampai.

Leave a Reply