Input your search keywords and press Enter.

SERANGAN SIBER SENJATA BAHARU ANCAM KESELAMATAN NEGARA

Ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta revolusi jaringan internet dicipta pakar komputer dan pembangun perisian hari ini membolehkan manusia berkomunikasi tanpa sempadan. Hakikat yang perlu diakui hari ini ialah semua jenis komputer dan gajet yang berlambak serta berselerak di muka bumi hari ini dapat membantu menghubungkan sesiapa sahaja walau di mana mereka berada.

Manusia hari ini berkomunikasi dalam cara dan kaedah yang amat luar biasa kerana berhubung secara maya atau menerusi alam siber.Namun, kecanggihan dan kepesatan ICT bukan sahaja mendatangkan kesan positif kepada kehidupan manusia, bahkan turut membawa kepada impak negatif yang boleh membahayakan kehidupan jika tidak diawasi dan ditangani sebaiknya. Kecanggihan ICT juga memberi maksud manusia perlu bersedia dengan pelbagai ancaman yang mampu merosakkan kehidupan menerusi serangan siber terhadap sistem serta rangkaian komputer. Serangan siber adalah ancaman baru yang mendapat perhatian khusus banyak negara dan kerajaan hari ini. Ia boleh hadir dalam pelbagai bentuk dan cara serta paling membimbangkan, ia menyerang secara senyap.

Serangan siber ceroboh sistem maklumat

Serangan siber boleh berlaku dalam bentuk penghantaran bom e-mel, spam, gangguan, ancaman penggodam, serangan virus, penafian perkhidmatan dan pencerobohan yang akan mengakibatkan kerugian besar serta menyebabkan kehilangan maklumat sulit syarikat mahupun kerajaan.Ia menjadi senjata baharu yang sangat efektif untuk menceroboh mana-mana sistem maklumat atau data sulit kerajaan, negara, jabatan atau syarikat.Selain murah, cepat dan mudah digunakan, serangan siber boleh dilakukan hanya dengan menggunakan telefon pintar atau komputer untuk menyerang satu atau lebih banyak sasaran dengan menekan satu butang sahaja.Serangan siber adalah satu isu keselamatan yang bukan sahaja dihadapi pengguna komputer, bahkan menjadi mimpi ngeri sesebuah kerajaan memandangkan hampir semua komputer yang ada hari ini mempunyai sambungan kepada rangkaian internet.

Internet ibarat lebuh raya yang dapat menghubungkan berjuta-juta komputer di seluruh dunia dan ia juga bersifat terbuka, sekali gus menimbulkan isu keselamatan kepada pengguna dan mana-mana negara hari ini.Bermakna, serangan siber adalah ancaman baharu terhadap keselamatan negara. Sebelum ini, keselamatan negara tertumpu kepada keselamatan tradisi iaitu pertahanan fizikal di darat, laut dan udara serta keselamatan dalaman yang kebanyakan membabitkan orientasi keselamatan secara fizikal.

Leave a Reply