M Update, 13/3/2019 – Seorang perompak mencuri hati netizen apabila memulangkan wang disamun daripada seorang wanita di mesin pengeluaran wang (ATM) selepas melihat baki akaunnya kosong, lapor media tempatan.
Shanghaiist melaporkan, wanita yang hanya dikenali sebagai Li mengeluarkan wang di mesin ATM di Heyuan, China, sebelum dihampiri perompak yang mengacukan pisau dan mengarahkannya menyerahkan semuanya. Video yang dikongsikan South China Morning Post itu, jelas menunjukkan Li yang ketakutan menyerahkan 2,500 yuan (RM1,500) yang baru dikeluarkan kepada perompak berkenaan.
Bagaimanapun, perompak itu tidak berpuas hati dan mengarahkannya menunjukkan baki dalam akaunnya. Apabila melihat akaun Li kosong, perompak berkenaan berubah hati dan bersimpati dengan wanita itu lalu memulangkan semula wang dirampas sebelum beredar tanpa mengapa-apakannya. Malah dia sempat melemparkan senyuman kepada Li.
Malangnya, biarpun bersikap budiman, lelaki itu tetap ditahan pihak berkuasa. Namun perbuatannya itu mendapat pujian netizen selepas video itu tular di media sosial China, menjadikannya bualan di Internet.
Sumber : HM Online