M Update, 15/3/2019 – Abdul Manaf adalah antara pemilik rumah di Kampung Simpangan, Tumpat yang rosak terkena serpihan selepas sebuah pos kawalan askar di Kampung Sri Pagan, Narathiwat dibom, 11.45 malam kelmarin.
Insiden itu mengakibatkan hampir 10 kediaman penduduk kampung itu rosak akibat terkena serpihan dan gegaran sangat kuat.
Abdul Manaf, 74, berkata pos kawalan berkenaan terletak kira-kira 30 meter dari rumahnya dan yang hanya dipisahkan Sungai Golok.
Serangan itu menyebabkan kerosakan di beberapa bahagian rumahnya termasuk cermin tingkap pecah akibat terkena serpihan bom terbabit.
“Sebaik terdengar bunyi tembakan, saya terus bangun dan keluar dari rumah untuk melihat apa yang berlaku dan ternampak ia datangnya dari pos kawalan askar di seberang sungai (Golok).
“Menantu saya yang sedang memancing dilihat meniarap di pinggir sungai dan tidak bergerak sebelum saya menjerit ke arahnya supaya segera lari menyelamatkan diri.
“Tidak lama kemudian saya ternampak sebuah motosikal menghampiri pos kawalan terbabit sebelum ia meletup disusuli beberapa bunyi dentuman bom. Selepas itu pos kawalan askar terbabit terus terbakar.
Katanya, mereka sekeluarga segera masuk ke dalam rumah untuk berlindung kerana terdapat serpihan melantun dari arah seberang sungai dan bernasib baik kerana mereka tidak cedera.
Penduduk kampung, Norzia Mail, 40, berkata kedai kopinya yang terletak berhampiran sungai turut rosak apabila lebih 10 keping siling bumbung kedai bocor dan terjatuh.
“Ketika kejadian, saya berada di dalam rumah tidak jauh dari kedai kopi. Gambar serta cermin yang tergantung di dinding rumah banyak yang terjatuh kerana gegaran dentuman sangat kuat itu.
“Adik dan beberapa rakannya sedang berbual di atas wakaf di tepi sungai segera melarikan diri selepas bom meletup,” katanya.
Sumber : Harian Metro