M Update, 22/3/2019 – Menjelang 16 hari sebelum bermulanya edisi ke-24 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019, penganjurnya Human Voyage Sdn Bhd berpuas hati dengan persiapan perlumbaan jelajah berbasikal terulung di Asia itu yang sudah pun selesai 90 peratus.
Persiapan sekarang sudah 90 peratus. Cuma ada beberapa perkara kecil yang belum selesai dengan kerajaan negeri dan acara sampingan nanti. Secara teknikalnya, kami sudah di situ (persiapan selesai) dan kami bersedia untuk bergerak,” kata Ketua Pegawai Eksekutif LTdL, Datuk Ahmad Mustafa selepas majlis prapelancaran LTdL 2019 yang dirasmikan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini hari ini.
Dalam majlis rasmi yang pertama kali dianjurkan Human Voyage sejak dipilih sebagai penganjur LTdL pada Januari lalu itu, Ahmad Mustafa juga berkata pihaknya sudah selesai mendapatkan penajaan bagi menampung baki kos penganjuran yang dianggarkan RM22 juta. Untuk rekod geran peruntukan yang diterima Human Voyage daripada KBS adalah RM8 juta.
Kos perbelanjaan masuk ke Pulau Langkawi termasuklah ke Genting Highlands dan waktu penyiaran yang kita beli bagi siaran di Eropah nanti adalah hampir RM22 juta. Perbelanjaan yang besar kita gunakan adalah bagi waktu siaran di Eropah itu yang boleh mencecah hingga ke RM17 juta. Apa yang boleh saya katakan adalah tajaan kita sudah dapat tampung kos perbelanjaan sepanjang perlumbaan nanti,” katanya.
Sebelum ini, beberapa isu timbul membabitkan penganjuran LTdL kali ini dengan isu pertukaran tarikh dan laluan. LTdL pada asalnya dijadual berlangsung pada 26 hingga 30 Mac sebelum dianjak ke 6 hingga 13 April ini dan laluan perlumbaan diubah beberapa kali sebelum laluannya diputuskan hari ini.
Perlumbaan lapan peringkat itu yang membabitkan laluan berjumlah 1,239.6 kilometer akan bermula di Kuala Lumpur dan melalui peringkat pendakian di Genting Highlands pada peringkat keempat sebelum dua peringkat terakhir berlangsung di Langkawi. Untuk rekod, kali terakhir Genting Highlands dimasukkan ke dalam laluan perlumbaan adalah pada 2014 sebelum ia ditutup bagi menjalani proses pembinaan.
Ahmad Mustafa berkata, sebanyak 22 pasukan sudah mengesahkan kehadiran dengan dua daripadanya adalah pasukan Jelajah Dunia – Pasukan Pro Astana (Kazakhstan) dan Mitchelton-Scott (Australia) sementara Raja Pecut edisi lalu, Andrea Guardini yang juga pemenang 24 peringkat di LTdL akan turut serta bersama pasukannya, Bardiani-CSF.
Sementara itu, Syed Saddiq berkata, penyertaan semula Langkawi dalam saingan perlumbaan berstatus Hors itu akan menjadikan pulau itu sebagai destinasi sukan pelancongan yang lebih dikenali. Kita mahu membudayakan sukan berbasikal dalam kalangan anak muda dan berharap dalam masa sama, Langkawi dijadikan destinasi sukan pelancongan. Ada beberapa acara antarabangsa yang lain akan turut diadakan di sana selepas ini,” katanya.
Info
Laluan perlumbaan LTdL 2019
Peringkat 1: Kuala Lumpur-Tampin (176.9km)
Peringkat 2: Senawang-Melaka (200.6km)
Peringkat 3: Muar-Putrajaya (192.9km)
Peringkat 4: Shah Alam-Genting Highlands (114.2km)
Peringkat 5: Tanjung Malim-Taiping (200.1km)
Peringkat 6: Bagan-Alor Setar (130.8km)
Peringkat 7: Pantai Cenang-Pantai Cenang, Langkawi (106.8km)
Peringkat 8: Dataran Lang-Kuah, Langkawi (103.8km)
Sumber : BH Online