M Update, 29/3/2019 – Orang ramai berpeluang melihat dengan lebih dekat aset-aset pertahanan dan keselamatan apabila Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) dibuka kepada pelawat awam, hari ini.
Tinjauan pada jam 8 pagi, mendapati ratusan pengunjung sudah beratur panjang di khemah sekretariat di MIEC untuk mendapatkan tiket masuk, selain kesesakan jalan raya teruk berlaku di Jalan Padang Matsirat menghala ke MIEC. Hari ini, pertunjukan udara membabitkan 40 pesawat dari pelbagai negara dijadual diadakan dua kali iaitu pada jam 10 pagi hingga 12 tengah hari dan jam 2 hingga 4 petang.
Pameran statik disertai 42 pesawat di landasan kapal terbang pula dibuka mulai jam 9 pagi hingga 4 petang manakala dewan pameran yang mempamerkan pelbagai produk pertahanan dalam MIEC dari jam 9 pagi hingga 5 petang. Dua pasukan aerobatik luar negara iaitu Russian Knights dengan pesawat Sukhoi SU-30SM, Jupiter dari Indonesia menggunakan pesawat KT-1B Woong Bee akan membuat penampilan istimewa pada pertunjukan udara itu.
Bagi segmen udara yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) bayaran masuk adalah RM20, manakala segmen maritim di Resort World Langkawi (RWL) percuma. Kemasukan ke di MIEC adalah percuma untuk pengunjung bawah umur 12 tahun, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.
Turut mengambil bahagian dalam pertunjukan udara adalah pesawat tempur Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) seperti Sukhoi SU30-MKM dan Hornet F/A-18D, selain pesawat pengangkut Airbus A400M. Jet tempur Tentera Udara India, Tejas dan Yak-130 dari Russia juga turut menampilkan aerobatik memukau bagi menghiburkan pengunjung.
Bagi segmen maritim di RWL, sebanyak 61 aset terbabit dalam demonstrasi maritim dan pameran statik, selain pengunjung berpeluang beramah mesra dengan selebriti pelakon Paskal The Movie. Selain produk pertahanan, pameran kerjaya juga diadakan di lokasi kedua-dua segmen itu.
Sumber : BH Online