M Update, 29/04/2019 – Menteri Hal Ehwal Islam, Panggilan dan Bimbingan Arab Saudi, Abdullatif Al-Asheikh meluluskan delegasi seramai 70 imam untuk mengetuai solat tarawih dan tahajud di 35 negara sepanjang Ramadan tahun ini.
Adalah menjadi budaya kementerian untuk menghantar imam ke negara lain di dunia ketika Ramadan untuk memimpin solat dan menyemarakkan syiar Islam.
Abdullatif berkata, ini adalah sebahagian mesej pentadbiran diraja untuk menjaga dan menyokong umat Islam di seluruh dunia.
“Imam dipilih dari kalangan pelajar kolej syariah. Mereka mempunyai pengetahuan mendalam mengenai Islam dan juga hafiz al-Quran.
“Imam muda ini adalah pendakwah yang baik yang boleh menjelaskan Islam dengan lebih mendalam serta fasih mengingati kitab suci,” katanya menerusi laporan Saudi Gazette baru-baru ini.
Katanya, imam yang dipilih akan menyebarkan mesej Islam sederhana serta mengukuhkan ukhwah antara Arab Saudi dan negara lain.
Menteri berkenaan bertemu imam dan meminta mereka menjadi duta yang baik untuk negara pentadbiran diraja itu.
Dalam perkembangan lain, Arab Saudi juga akan mengagihkan 6,500 tan kurma kepada penduduk memerlukan di 43 negara di seluruh dunia di bawah program tahunan dilancarkan di ibu kota ini baru-baru ini.
Ketua Penyelia Pusat Bantuan dan Kemanusiaan Raja Salman (KSrelief), Dr Abdullah Al-Rabeeah melancarkan program agihan kurma tahunan di ibu pejabat agensi berkenaan di sini.
“Kurma adalah antara keluaran pertanian paling penting Arab Saudi dan pemimpinnya berusaha mengagihkan hasil yang berkhasiat setiap tahun sebelum bulan suci Ramadan,” katanya.
Katanya, 4,000 tan kurma akan diperuntukkan menerusi Program Makanan Dunia (WFP) untuk diagihkan di 14 negara manakala 2,500 tan diperuntukkan secara langsung kepada kerajaan di 29 negara lain.
“Kami mahu menegaskan bantuan Arab Saudi melebihi sejumlah AS$86 bilion (RM355.39 bilion) sejak 1996, memberi sokongan kepada kira-kira 80 negara,” katanya. -Agensi