M Update, 9/5/2019 – Hari ini, genap setahun lakaran sejarah dipahat Pakatan Harapan (PH) yang berjaya menawan Putrajaya selepas menumbangkan kerajaan enam dekad, Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu.
Ikuti wawancara media bersama Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini yang mengulas pelbagai isu seperti cabaran dan rintangan setahun gabungan parti pimpinannya dalam pentadbiran, prestasi menteri serta perasaannya masih menjadi Perdana Menteri pada usia 94 tahun.
S: Sejauh mana Tun melihat pencapaian kerajaan baharu genap setahun pentadbiran?
J: Pertama sekali, tiada siapa sangka kita boleh menang. Ramai kata gabungan parti politik ini rapuh yang mana ia akan berpecah, tetapi itu tidak berlaku. Kita (parti dalam PH) sudah bersama selama ini dan kita sangat bersatu serta kita punya satu matlamat, iaitu membawa kembali Malaysia yang kita kenali sebelum ini.
Pada saya, itu adalah satu pencapaian. Mereka melantik saya sebagai ketua mereka pun satu pencapaian. Saya individu yang mereka serang sebelum ini, namun begitu mereka memilih saya menjadi pemimpin yang sehingga kini saya masih pemimpin mereka. Itu satu pencapaian.
Kabinet yang kita wujudkan pula sudah menjalankan tanggungjawab dengan baik meskipun banyak anggota baharu. Sebelum itu, mereka berada di barisan pembangkang selama 60 tahun, tetapi mereka berupaya berubah menjadi kerajaan walaupun segelintir masih bersikap seperti pembangkang. Negara masih berasa gembira dengan pertukaran kerajaan. Perkara ini apa yang kita mahu dan pada satu peringkat, kita sudah mencapai objektif itu.
Objektif pertama yang kita mahu lakukan ialah melawan rasuah kerana orang banyak mengadu mengenai rasuah. Ini membabitkan rasuah yang sedang disiasat (dilakukan) ketika kerajaan terdahulu. Kini tiada orang mengadu mereka mempunyai kesukaran untuk membuat banyak perkara ekoran tuntutan pembayaran tambahan.Orang memperoleh kelulusan (permohonan) dengan lebih cepat. Itu pada kami juga adalah satu pencapaian. Orang berasa gembira kerana mereka mempunyai kerajaan seperti kami, itu satu perkara yang kita hargai.
Sudah tentu ada rungutan dan kritikan. Ini semua datang daripada pihak yang sebelum ini mencipta masalah ini. Apa yang kita lakukan adalah untuk cuba menyelesaikan masalah yang diwujudkan oleh pihak berkenaan. Mereka meminjam duit sehingga berbilion-bilion, mereka menghukum orang yang tidak menyokong mereka dan mengambil pekerjaan mereka. Inilah orang yang kini mengkritik. Kerajaan sekarang tidak berbuat seperti mereka dahulu. Kita sudah membuang orang yang secara terang-terangan melakukan rasuah. Kita ada bukti mengenai mereka dan kita akan ambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang.
Kita mengambil tindakan mengikut kedaulatan undang-undang, ini juga satu pencapaian kerana sebelum ini (di bawah kerajaan terdahulu) tidak diamalkan yang mana sesiapa boleh ditahan (tidak mengikut perundangan), tetapi kini sebarang pendakwaan perlu melalui mahkamah, walaupun perbicaraan kes tidak dapat dilakukan lebih awal, kita tak merungut, kita menerima pemisahan kuasa antara kehakiman dan eksekutif. Terdapat banyak lagi yang sudah kita lakukan, termasuk mengendalikan isu pinjaman wang dalam projek ECRL (Laluan Rel Pantai Timur). Kita berjaya menjimatkan sehingga RM21 bilion, ini tidak dapat dicapai oleh orang lain.
Kita juga berjaya menyelesaikan masalah membabitkan Bandar Malaysia. Semua ini adalah pencapaian kerajaan, sudah tentu kita tidak menghebohkannya setiap masa, tetapi ia tetap pencapaian kita sebagai kerajaan baharu.
S: Apakah perkara yang tidak tercapai oleh kerajaan atau masih belum dapat ditunaikan?
J: Apabila kami menjanjikan untuk menghapuskan tol, tetapi kini kami sedar. Sebelum memutuskan untuk menghapuskannya, kita tidak memahami tentang kosnya. Sekarang kami sedar, untuk menghapuskan tol menuntut kerajaan membeli semua lebuh raya dan itu membabitkan kos yang sangat tinggi. Untuk PLUS (Projek Lebuhraya Utara-Selatan) sahaja, kerajaan perlu membayar RM30 bilion sebelum boleh kata tiada tol boleh dikutip. Persoalannya sekarang, adakah kerajaan perlu menggunakan RM30 bilion untuk tujuan itu atau digunakan bagi perkara lebih penting. Kalau kita menghapuskan tol, kita tidak mendapat apa-apa daripada penggunaan lebuh raya dan pada masa sama, kita perlu menyelenggara lebuh raya itu dengan kos berbilion.
Jika kita perlu membina lebuh raya baharu, kita perlu melakukannya dengan menggunakan khidmat kerajaan, termasuk kos pembinaan kerana kita tidak boleh mengutip tol. Pihak swasta juga tidak akan melabur di lebuh raya baharu kerana mereka tidak akan dapat pulangan. Ini akan menggandakan masalah kewangan kerajaan. Jadi pada ketika ini, kita mendapati sangat sukar melaksanakan janji sudah dibuat tanpa pengetahuan sepenuhnya mengenai kos dan kesan akan berlaku. Itu perkara yang kita janji, tetapi tidak dapat ditunaikan. Ada juga yang kita lihat sukar untuk dilakukan, yang mana kita perlu mengkaji dan lihat bagaimana kita akan laksanakan seperti penghapusan hukuman mati. Ada juga janji-janji yang kita lihat ditentang oleh ramai orang kerana mereka rasakan bertentangan dengan kepentingan mereka.
S:Usaha kerajaan untuk menghapuskan rasuah. Sejauh mana Tun melihat kerajaan berjaya ke arah itu?
J: Jika dalam kerajaan, (kejayaan) agak banyak kerana kita tidak menerima aduan terkini mengatakan bahawa permohonan mereka (orang awam) ditangguhkan. Sebelum ini, hendak mendapat kebenaran pun akan ditangguhkan dan selalunya ada permintaan wang. Kini perkara seumpama itu tidak berlaku.
S: Tun katakan sebelum ini sokongan kepada kerajaan dan Tun sendiri merosot kerana ada pihak tidak senang hati dengan ketegasan kerajaan banteras rasuah. Apakah cara untuk memberi pemahaman kepada rakyat dalam hal ini?
J: Memang kerajaan dahulu, mereka memberikan duit yang sangat banyak kepada macam-macam golongan. Contohnya, nelayan dapat gaji walaupun tidak mendapat ikan, iaitu RM300 sebulan. Golongan bujang dapat RM450 sebulan dan BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) bagi banyak duit lagi. Macam-macam orang dapat duit. Kalau kita amalkan seperti itu, kita jadi korup. Mendapatkan sokongan dengan memberikan wang adalah rasuah, kita tidak boleh berbuat demikian kerana kita tiada duit pun. Kita tidak curi duit dan tiada duit untuk bagi, jadi ramai yang dulu dapat banyak duit, kecewa dan mempersoalkan kenapa dulu dapat RM450, kini dapat RM100 sahaja.
Ada yang berpendapat kerajaan ini akan menghalang pemberian wang oleh pihak tertentu. Sekarang ini, mereka tidak dapat gaji atau elaun tambahan setiap bulan, jadi mereka kecewa dengan kerajaan ini. Masa dulu boleh juga dapat duit, sekarang tidak boleh dapat duit dan dikenakan tindakan. Sekarang hanya bergantung kepada gaji sahaja. Memang semua orang kata, waima dia jutawan sekali pun, duit tidak akan cukup. Itu tabiat manusia, tetapi di sini, kita dapati orang yang sekarang ini tidak dapat duit kerana gerakan antirasuah ini, mereka marah kerajaan. Dahulu boleh dapat, sekarang tidak.
Oleh itu, sokongan kepada kita merosot dalam kalangan kumpulan tertentu yang terkenal kerana mereka menyokong bukan sahaja dapat gaji, tetapi dapat ‘gaji tambahan’. Itulah sebahagian daripada sebabnya kenapa kita lihat undi kepada PH merosot.
S: Bagaimana untuk memperbetulkan pemahaman atau pemikiran seperti ini?
J: Ia agak sukar, tetapi kita akan membuat orang berfikiran bahawa ia adalah normal untuk mereka tidak ditanggung orang-orang yang berduit. Dari semasa ke semasa, mereka perlu belajar bahawa mereka akan mendapat bayaran mereka. Kita akan mempertingkatkan gaji mereka.
Selepas satu masa, masyarakat awam akan mula menghargai bahawa mereka tidak perlu mengeluarkan lebih untuk sebab-sebab berkaitan rasuah.
S: Mungkin usaha penerangan mengenai rasuah oleh kerajaan tidak sampai ke akar umbi termasuk kepada orang Melayu hingga ada pihak menangguk di air keruh?
J: Yang utama adalah berjumpa dengan mereka, orang kampung. Kalau kita tidak jumpa dengan mereka, kita tidak dapat beri penerangan. Kadang-kala bergantung kepada laporan (media), tetapi itu tidak mencukupi untuk menjelaskan apa yang ingin dihebahkan.
Jadi saya berpendapat bahawa saya perlu berjumpa dengan mereka yang membuat pendapat (opinion makers). Saya kadang-kala jemput mereka datang berjumpa saya, membabitkan 30 hingga 50 orang, merangkumi pelbagai kumpulan termasuk kesatuan sekerja, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang dari Felda. Saya rasa, saya sudah jumpa tidak kurang daripada 50 kumpulan berasingan yang datang untuk memberitahu saya masalah mereka.
S: Ada pihak mendakwa kerajaan PH hanya menjenamakan semula program kerajaan terdahulu?
J: Hakikatnya adalah apa yang cuba dilakukan oleh kerajaan terdahulu gagal, jadi kita akan membuatnya dengan kaedah sebaik mungkin. Bukan melalui rasuah, bukan melalui pemberian kontrak kepada kroni, bukan melalui pemberian harga kontrak yang tinggi untuk melarikan wang. Itulah perkara yang mereka lakukan sebelum ini, tetapi kita perlu melakukan program sama tanpa rasuah, itu kelainannya, bukan sahaja meneruskan apa yang mereka lakukan sebelum ini.
Mana-mana kerajaan pun perlu melakukan sesuatu. Jadi apa yang kita lakukan adalah tanggungjawab sebagai kerajaan tanpa adanya elemen rasuah, kroni dan seumpamanya. Saya rasa kita berbeza kerana dalam banyak-banyak kes, ECRL mengambil masa setahun untuk dirunding kembali kontrak. Kontrak itu adalah satu perkara yang sangat tidak baik dan sangat teruk. Ia diberi kepada syarikat China hanya kerana kita meminjam duit dari negara mereka dan kita meminjam duit lebih banyak daripada yang sepatutnya.
Apa yang berlaku, semua pembayaran dilakukan di China dan bukannya di Malaysia, semua keuntungan juga dibuat di sana dan kita tidak boleh mengenakan cukai terhadap mereka. Jadi terma dan syarat bagi ECRL adalah sangat teruk. Sekarang kita tidak buat macam itu, kita kembali kepada amalan yang sebetul-betulnya. Jadi, adalah tidak betul jika mengatakan kita mengikut apa yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu.
S: Adakah Tun menyokong 100 peratus keputusan, tindakan dilakukan oleh anggota Kabinet?
J: Kadang-kala mereka melakukan perkara-perkara tanpa bertanya kepada saya terlebih dahulu, iaitu perkara yang tidak patut dilakukan sehingga menyebabkan masalah kecil dan seumpamanya. Bagaimanapun, mereka sedang belajar. Bila mereka mendapat publisiti buruk, mereka akan datang jumpa saya untuk bertanya apa yang patut dilakukan dan sebagai Perdana Menteri sudah menjadi tanggungjawab saya untuk mendengar masalah mereka. Inilah sistem Kabinet.
Dalam masa saya sebagai Perdana Menteri mempengerusikan Kabinet, anggota lain tidak dihalang untuk membuat keputusan mereka sendiri, tetapi jika mereka menghadapi kesukaran, mereka berhak berjumpa dengan saya. Kadang-kala sudah tentu mereka membuat kenyataan yang tidak bagus, tetapi mereka sedang belajar.
S: Apa tindakan kerajaan kepada aduan peningkatan kos sara hidup dalam tempoh setahun ini?
J: Terdapat banyak lagi barang makanan yang sudah turun harganya. Harga barang naik kerana kita dapati terdapat orang tengah. Sebagai contoh, sayur di Cameron Highlands, mereka jual pada harga 50 sen sekilogram, tetapi pasar jual pada harga RM7 sekilogram. Maknanya di tengah-tengah itu berlaku sesuatu. Semua ini perlu diambil perhatian. Kita mahu mengurangkan margin pendapatan orang tengah dan saya berpendapat, jika diberi masa, harga barang mungkin tidak akan turun tetapi kuasa beli ringgit anda akan dipertingkatkan. Ringgit ketika ini berada di bawah nilai, jadi kos barangan meningkat. Terdapat banyak kaedah untuk memperbaiki keadaan ini, bukan hanya memberikan duit kepada orang.
S: Bercakap mengenai 9 Mei, adakah Tun melihat negara kita berada pada kedudukan yang Tun mahukan sebelum ini?
J: Pada masa itu (Pilihan Raya Umum ke-14), kami tidak berfikir boleh menang pun, tetapi selepas menang, masalah yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu lebih banyak daripada apa yang disangkakan. Ini kerana kita tidak diberikan maklumat. Kini negara bergerak pada landasan yang agak baik meskipun dibelenggu oleh keadaan sedemikian.
S: Ada mendakwa kerajaan PH hanya memberi reaksi terhadap naratif yang dilihat cenderung kepada isu Melayu, Muslim dan agama?
J: Ia bukan hanya (isu) Melayu dan Muslim, tetapi ada masalah membabitkan Cina yang mahukan (pengiktirafan) Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) sekolah dan universiti, selain masalah komuniti India.Semua ada masalah, semua rasa kerajaan memberi perhatian lebih kepada komuniti lain, bukan kepada mereka. Hakikatnya kita peka terhadap semua komuniti dan kita pastikan semua berpuas hati, tetapi faktanya, kita masih risau tentang bangsa kita.
Kita cakap banyak mengenai penyatuan menjadi rakyat Malaysia, tetapi semua orang cakap mengenai bangsa mereka sendiri. Menteri-menteri mahu mendapatkan sokongan kaum mereka dan membawa isu terbabit ke dalam kerajaan. Kita lihat kalau kita melayan kaum ini dan bukan kaum itu, kita akan ada masalah. Jadi, kita akan cuba memastikan secara minimum, semua pihak mendapat kepuasan. Kita tidak boleh puaskan hati secara penuh semua pihak setiap masa.
S: Sebagai Perdana Menteri tertua di dunia, adakah Tun berasa ‘segar semula’ selepas setahun mentadbir atau penat?
J: Saya rasa masih kuat bagi seorang yang berumur 94 tahun. Pada usia ini, ramai orang sudah tidak berupaya berfikir, tetapi saya rasa masih berupaya menjawap soalan-soalan ‘jahat’ anda. Setahu saya, dalam kalangan pemimpin di dunia ini, saya tidak rasa saya lebih teruk dari Donald Trump, pemimpin-pemimpin British, pemimpin Perancis yang terpaksa berhadapan dengan kumpulan baju kuning dan sebagainya.
S: Adakah BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) ketika ini berada di tempat yang sepatutnya?
J: Saya tidak berpuas hati lagi. Ahli kita masih kecil, kita mendapati terdapat amalan tidak baik, misalnya ketua bahagian tidak mahu orang masuk BERSATU kerana jika orang masuk, ia akan membelakangi mereka yang lama. Jadi pada mereka, lebih elok mempunyai sebuah parti yang kecil. Oleh kerana kita mempunyai bilangan (ahli) yang kecil, jika berlaku pilihan raya kecil, kita perlu mencari calon dari tempat lain. Budaya politik Melayu telah berubah. Saya sudah menyaksikan budaya ketika permulaan UMNO dahulu, mereka memberi duit mereka sendiri (kepada parti) dan tidak meminta pulangan. Ada juga menolak menjadi calon kerana merasakan diri tidak layak, namun begitu perkara sedemikian tidak berlaku sekarang.
Kini, walaupun hanya berkelulusan Darjah Satu, dia berasa layak menjadi Perdana Menteri. Itu hak anda. Perkara ini memberi kesan kepada bukan sahaja BERSATU, tetapi parti Melayu yang lain.
Sumber : BH Online