M Update, 17/5/2019 – Memperkenalkan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah antara cadangan dikemukakan dalam proses konsultasi awam.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata ia bukan cadangan diketengahkan PTPTN untuk dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
“Saya lihat apa yang PTPTN kemukakan ialah konsultasi awam. Mereka (PTPTN) inginkan pandangan orang ramai terhadap beberapa perkara. Itu (memperkenalkan semula sekatan terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman) bukan cadangan mereka (PTPTN). Cuma apabila wartawan tanya dia (Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan) macam itu… dia pergi jawab pula.
Pada pandangan saya, PTPTN perlu beri penjelasan kepada media supaya tidak berlaku salah faham seperti itu,” katanya pada sidang media selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sungai Ara di sini, hari ini. Semalam, media melaporkan PTPTN mungkin memperkenalkan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman jika itu yang dimahukan orang ramai.
PTPTN juga dikatakan sedang meneliti beberapa cadangan lain untuk mengutip baki pinjaman pendidikan, termasuk menyekat peminjam daripada memperbaharui pasport, lesen, cukai jalan dan lesen perniagaan kepada Kabinet. Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid, dilapor berkata, sekatan perjalanan adalah kaedah paling berkesan dalam usaha mengumpul balik bayaran pinjaman daripada peminjam yang gagal membuat bayaran. – BH Online