M Update, 17/06/2019 – China dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mencapai satu ‘persetujuan meluas’ dalam tugas memerangi keganasan, kata Kementerian Luar China semalam selepas kunjungan kontroversi oleh seorang diplomat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke rantau barat Xinjiang minggu ini.
Amerika Syarikat (AS) dan negara barat lain membantah lawatan oleh Ketua Antikeganasan PBB, Vladimir Voronkov ke Xinjiang, di mana pakar badan dunia itu berkata, kira-kira sejuta etnik Uighur dan golongan minoriti Islam lain ditahan dalam kem tahanan.
Diplomat berkata, selain AS, beberapa negara termasuk Britain mengadu mengenai kunjungan Voronkov, seorang diplomat veteran Russia yang mengetuai Pejabat Antikeganasan PBB.
Timbalan Setiausaha Negara AS, John Sullivan bercakap dengan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres Jumaat lalu untuk ‘menyampaikan kebimbangan mendalam’ berhubung kunjungan Voronko kerana ‘Beijing terus melancarkan kempen penindasan ke atas Uighur dan Muslim lain sebagai usaha sah antikeganasan walaupun bukan itu yang sebenarnya berlaku.’
Dalam satu kenyataan ringkas, Kementerian Luar China berkata, Voronkov mengunjungi ibu kota ini dan Xinjiang dari 13 hingga 15 Jun, bertemu diplomat kanan termasuk Timbalan Menteri Luarnya, Le Yucheng.
“Kedua-dua pihak bertukar pandangan mendalam berhubung situasi antikeganasan antarabangsa dan kerjasama dalam bidang itu antara China dan PBB selain mencapai persetujuan meluas,” kata kementerian tanpa memberi butiran lanjut.
Voronkov melawat Xinjiang sebelum Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Michelle Bachelet, yang berulang kali menekan China supaya memberi akses untuk menyiasat laporan kehilangan dan penahanan tidak sah terutama Muslim di rantau itu. -Reuters