M Update, 7/8/2019 – Belajar tulisan khat bukan paksaan sebaliknya satu usaha untuk meningkatkan kefahaman semua murid mengenai seni, warisan dan sejarah bahasa Melayu.
Itu antara penjelasan soalan kerap ditanya (FAQ) mengenai isu tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, semalam, Difahamkan, FAQ itu dikeluarkan susulan perdebatan hangat mengenai pelaksanaan isu tulisan khat itu akhir-akhir ini.
FAQ 10 soalan berserta penjelasan itu turut dikongsi Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menerusi Facebook (FB), semalam.
Penjelasan yang diberikan kementerian antara lain menyebut, tulisan jawi juga sudah diajar di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) melalui mata pelajaran Bahasa Melayu sejak tahun 2015 lagi. Malah, katanya, ia boleh dirujuk kepada buku teks Bahasa Melayu untuk SJK Tahun 5 cetakan 2015 di muka surat 85 hingga 88 (bawah tema 6 Menghargai Budaya Bangsa Unit 17 Seni Tulisan). Katanya, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Semakan bagi subjek Bahasa Melayu Tahun 4 memperkenalkan seni tulisan khat sebagai pengisian tambahan.
Tulisan khat dilaksanakan sebagai pengisian tambahan dalam aspek seni bahasa dan untuk memperkaya murid dengan pengetahuan mengenai seni, warisan dan sejarah bahasa Melayu. Pengisian ini dilaksanakan melalui pembelajaran dalam buku teks Bahasa Melayu. Terdapat 6 muka surat aktiviti seni bahasa berkaitan tulisan khat dimuatkan di dalam buku teks setebal 164 muka surat,” katanya.
Katanya, pelaksanaan tulisan khat tidak hanya berlaku di SJK sahaja sebaliknya membabitkan semua Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK). Dalam pada itu, menerusi FAQ sama, pengenalan tulisan khat ini adalah Tahap 2 dengan membabitkan tahun 4 pada tahun 2020, tahun 5 pada tahun 2021 dan tahun 6 pada tahun 2021 manakala, murid Tahap 1 (Tahun 1 hingga 3) tidak terbabit dengan pengenalan tulisan khat. Selain itu, katanya, tulisan khat juga tidak diuji dalam ujian dan peperiksaan malah, tiada pentaksiran akan dijalankan.
Dalam pada itu, berhubung persoalan kenapa tulisan khat dan tidak memberi fokus kepada ‘coding’ dan cabang ilmu lain, kementerian menjelaskan, tulisan khat adalah pengisian tambahan yang relevan untuk mata pelajaran Bahasa Melayu. Kementerian memperkenalkan coding atau pengekodan kepada murid sekolah rendah dan menengah dalam pelaksanaan KSSR dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Semakan 2017.
Di sekolah rendah ia membabitkan murid Tahap 2 (Tahun 4,5 dan 6). Manakala untuk sekolah menengah pula membabitkan Tingkatan 1 hingga 3. Aspek coding ini dipelajari melalui mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi serta Asas Sains Komputer,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Pemerolehan dan Pembelajaran Bahasa, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr S Vijayaletchumy berkata murid Tahun Empat hanya perlu Tekap, sambung titik pada huruf jawi dan tiru semula untuk dijadikan seni khat. Katanya, perkara itu hanya akan diajar empat kali setahun dalam tempoh 10 minit terakhir sebagai bahan sokongan kemahiran bahasa sesi pengajaran Bahasa Melayu.
Vijayaletchumy yang juga antara ahli panel yang terbabit dalam menggubal kurikulum itu turut menegaskan untuk sesi pembelajaran itu, lima hingga enam aksara daripada tulisan jawi sahaja yang akan diperkenalkan kepada murid. Masyarakat serta pihak tertentu sebenarnya sudah salah faham atau keliru antara tulisan jawi dengan tulisan khat. Ia adalah perkara yang berbeza.
“Jawi adalah tulisan rasmi manakala tulisan khat adalah antara aspek seni bahasa atau kaligrafi dalam Bahasa Melayu yang membabitkan tulisan jawi ditulis secara berangkai menjadi tulisan khat.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memasukkan seni khat dalam pengajaran Bahasa Melayu kerana ia adalah sebahagian daripada warisan Bahasa Melayu yang mempunyai nilai estetika tersendiri, …yang diajar adalah seni khat dan bukan tulisan jawi, jadi ia adalah salah faham,” katanya kepada BERNAMA.