M Update, 19/08/2019 – Kerana cinta dan sayang terhadap seorang kekasih, seorang wanita di BuengKum cuba membunuh ibunya untuk mendapatkan insurans bagi membayar ikat jamin kekasihnya yang dipenjarakan kerana kesalahan dadah.
Kanchana Srisung, 25, membayar 200,000 bhat (RM27,023) kepada dua lelaki untuk menembak ibunya, Ueamduean Srisung.
Mangsa berusia 55 tahun itu ditembak ketika mengayuh basikal dalam perjalanan pulang ke rumah pada 22 Jun lalu.
Ueamduean hanya melaporkan kejadian itu kepada polis baru-baru ini, selepas lebih sebulan koma di hospital.
Lapor Mirror Online, polis berjaya menahan dua suspek lelaki Prachern Krabinrot, 40, dan Dao Chaengpradith, 35, kelmarin.
Ketika disoal siasat, Kanchana mengakui berniat membunuh ibunya kerana memerlukan wang untuk mengeluarkan kekasihnya dari penjara.
Kanchana yang mempunyai dua anak mengetahui ibunya mempunyai tiga insurans nyawa dan memiliki banyak tanah yang dikatakan bernilai lebih 10 juta bhat (RM1.35 juta).
Nenek Kanchana, Pom mendedahkan cucunya cuba menembak ibunya pada Januari lalu, namun gagal.
Bagaimanapun, ketika itu mangsa tidak membuat laporan polis kerana menyangka anaknya insaf.
Polis dalam kenyataan berkata, kes itu masih dalam siasatan kerana mempercayai Kanchana dipaksa kekasihnya untuk bunuh mangsa.