M Update, 13/9/2019 – Jabatan Imigresen menolak kemasukan kira-kira 30,000 warga asing kerana tidak memenuhi syarat untuk masuk ke Malaysia, antaranya pelancong dan pekerja asing yang tidak dituntut oleh majikan.
Bilangan mereka yang diberi notis penolakan kemasukan itu adalah bagi tempoh Januari hingga 10 September lalu. Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata paling tinggi yang tidak dibenar masuk dan diarah pulang semula ialah rakyat Indonesia, Bangladesh dan China walaupun mereka datang dengan pas yang sah di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).
“Kebanyakan mereka cuba masuk sebagai pelancong dan bila ditanya tempat tinggal mereka tidak tahu, dan di mana mereka ini akan tinggal, pas lawatan sosial cuma mempunyai 30 hari dan mereka mempunyai duit RM200 di dalam poket. Mereka ini disyaki masuk untuk bekerja cuba mencari peluang bekerja di mana-mana pusat hiburan. Saya tidak nafikan ada sindiket yang bawa masuk mereka ini pelancong wanita daripada China ini,” katanya kepada BERNAMA.
Beliau berkata langkah pengawasan yang ketat di pintu masuk negara itu adalah bagi memastikan tiada warga asing yang diragui dapat membolosi pintu masuk negara, sekali gus mengatasi masalah pendatang tanpa izin.
Mengikut statistik pendatang tanpa izin tahun ini (sehingga 10 September), sejumlah 12,142 adalah rakyat Indonesia, diikuti Bangladesh (8,056); Myanmar (3,635); Filipina (3,149); Thailand (2,127); India (2,006); Pakistan (1,436); Vietnam (1,313); China (800); Nepal (765) dan lain-lain (1,215).
Khairul Dzaimee berkata pihaknya sentiasa berusaha untuk memastikan masalah pendatang tanpa izin di negara ini ditangani dan pelbagai langkah dan operasi sentiasa dilaksanakan bagi memastikan Malaysia bebas daripada masalah pendatang tanpa izin. Sejumlah 12,448 operasi dijalankan di seluruh negara dalam tempoh 1 Januari hingga 10 September dengan jumlah keseluruhan warga asing yang diperiksa ialah 146,777 orang dan daripada jumlah itu seramai 36,684 pendatang tanpa izin ditahan. Turut ditahan dalam tempoh itu ialah 922 majikan kerana menggaji atau melindungi pendatang tanpa izin. Turut diperiksa ialah 3,399 pemegang kad UNHCR,” katanya.
Beliau berkata daripada operasi yang dijalankan, kebanyakan warga China masuk sebagai pelancong dan diberi pas lawatan sosial selama 30 hari dan terdapat kes mereka menyalahguna pas sosial dengan bekerja di pusat hiburan.
Bagi warga Afrika dan Nigeria pula, kebanyakan mereka ini pelajar mula-mula semester pertama dan kedua mereka ini belajar, (lepas itu) mula tidak pergi kelas, ponteng, apabila mereka ini gagal dalam ujian, pas pelajar mereka ini tidak boleh diperbaharui dan (mereka) tinggal lebih masa di sini melakukan pelbagai kesalahan seperti (terbabit) love scam… ramai kami tangkap dalam operasi… itu tidak ada angka, kami akan jumpa mereka ini semasa operasi dijalankan,” katanya.
Beliau berkata agak sukar bagi jabatan itu mengesan mereka yang tinggal lebih masa dan bagi menyelesaikan masalah itu, satu sistem baharu iaitu ‘Imigration Integrated System’ sedang dibangunkan, yang boleh mengesan mereka yang masuk sebagai pelancong dan tinggal lebih masa. Bagi warga asing yang berniaga termasuk di pasar borong pula, beliau berkata perkara itu banyak berkait dengan persepsi masyarakat dan apabila pihaknya mengambil tindakan dengan menjalankan operasi mendapati warga asing berkenaan sebenarnya terdiri daripada mereka yang mempunyai permit yang sah.
Kadang kala aduan yang diterima membabitkan warga asing yang berniaga terdapat segelintir masyarakat kita apabila melihat warga asing yang berniaga, terus dikatakan pendatang tanpa izin tidak diambil tindakan, sedangkan bila kami membuat semakan mereka ini sebenarnya berkahwin dengan rakyat tempatan. Ramai yang berkahwin dengan rakyat tempatan dan mereka boleh menjalankan perniagaan dengan menggunakan lesen atas nama isteri suami warga tempatan itu.
Insya-Allah saya akan melakukan yang terbaik untuk menangani isu keberadaan warga asing di negara ini,” katanya.
Sumber : BH Online