M Update, 4/10/2019 – Seorang budak lelaki berusia 12 tahun di sini, mengaku memujuk budak perempuan autisme sembilan tahun mengikutnya sebelum memukul, mencabul dan membunuh mangsa yang ditemui terikat pada pokok.
Mangsa, Raissa Caparelli, dilaporkan hilang pada Ahad lalu, selepas pergi ke satu karnival acara kebajikan di Anhanguera, pinggir Sao Paulo. Menurut Daily Mail yang memetik media tempatan, mayatnya kemudian ditemui terikat pada sebatang pokok di sebuah taman dengan tanda-tanda serangan seksual kira-kira lima kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Jurucakap polis, Eduardo Marturano berkata, kecederaan pada mayat Raissa amat teruk, malah wajah budak itu sukar untuk dikenali. Mangsa juga mengalami kecederaan teruk pada bahu dan luka yang dalam pada badan serta kaki. Tiada senjata ditemui di lokasi kejadian tetapi pakar forensik mengesyaki sebatang kayu atau dahan pokok digunakan untuk memukul mangsa hingga mati,” katanya. Setakat ini pihak berkuasa percaya mangsa mati akibat dicekik.
Sehari selepas penemuan mayat itu, seorang wanita datang ke balai polis bersama anak lelakinya yang berusia 12 tahun yang mengaku dia membunuh Raissa. Polis memberitahu, remaja itu menceritakan bagaimana dia memukul Raissa hingga mati dan suspek tidak menunjukkan sebarang reaksi bersalah ketika memberi keterangan. Kamera keselamatan di luar taman itu turut menunjukkan mangsa yang memakai baju merah jambu berjalan sambil memegang tangan suspek.
Remaja itu dilaporkan mengenali Raissa kerana tinggal di jalan yang sama dan belajar di sekolah sama tetapi motif dia membunuh mangsa tidak didedahkan. Mayat mangsa ditemui kira-kira jam 2 petang hari yang sama oleh pengawal keselamatan taman selepas diberitahu budak lelaki berkenaan kononnya terserempak dengan mayat Raissa ketika melalui jalan pintas. – HM Online