M Update, 9/10/2019 – Pembentangan Belanjawan 2020 seharusnya menyebelahi orang muda dengan memperuntuk sekurang-kurangnya tiga berita gembira dalam usaha memacu sosioekonomi mereka.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman, berkata pihaknya mengusulkan supaya dana khas bernilai RM6 bilion disediakan untuk tujuan mencipta 350,000 peluang pekerjaan berkualiti tinggi bagi tempoh lima tahun. Katanya, langkah sedemikian wajar dilaksanakan untuk menjamin gaji yang diterima golongan muda lebih baik dan mampu menampung peningkatan kos sara hidup.
“Kita sudah bincang usaha ini sepanjang enam bulan lalu di antara Kementerian Kewangan dan agensi lain seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Perkara kedua yang kita minta supaya elaun penuntut Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) dinaikkan sebanyak RM100 bagi menggalakkan kadar kemasukan ke institusi ini kerana ia mencatatkan tahap kebolehpasaran menjangkau 96 peratus.
Seperti diketahui ramai, TVET ialah institusi yang diwujudkan untuk membantu golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40), khususnya generasi pelapis bagi memperoleh kemahiran berkaitan.
“Kita harap (Perdana Menteri) Tun (Dr Mahathir Mohamad) dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng boleh bersetuju dengan cadangan ini,” katanya dalam temu bual eksklusif, semalam.
Seiring manifesto Pakatan Harapan (PH), Syed Saddiq berkata, cadangan peningkatan gaji minimum turut diusulkan supaya jumlahnya dinaikkan kepada RM1,200, berbanding RM1,100 sekarang. Beliau berkata, peningkatan RM100 pada tahun depan bagi Semenanjung, Sabah dan Sarawak itu langkah bersesuaian supaya kadar gaji minimum yang sering dibangkitkan dalam kalangan masyarakat dibuat secara berfasa.
Tanggapan bahawa golongan muda mempunyai banyak masa. Justeru, fokus utama kerajaan seharusnya diletakkan terhadap kumpulan lebih berusia adalah salah. Sebaliknya, golongan muda ialah masa depan negara dan mereka tidak boleh menunggu untuk kita membuat pelaburan sewajarnya kepada kelompok ini.
Kerajaan harus sediakan mereka dengan memperuntuk kemahiran dan dana berkaitan supaya menjadikan golongan muda sebagai barisan utama yang menerajui pertumbuhan negara,” katanya. – BH Online