M Update, 2/12/2019 – Golongan miskin akan terus ketinggalan jika tidak menerima strategi dilaksanakan kerajaan untuk meningkatkan pendapatan mereka, antaranya melalui dasar Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata, rakyat tidak boleh bergantung sepenuhnya bantuan atau wang percuma daripada kerajaan, sebaliknya mereka mesti berusaha untuk menambah pendapatan dengan memanfaatkan pinjaman kewangan atau latihan yang disediakan kerajaan. Katanya,Malaysia belum mencapai tahap negara maju, antara lain disebabkan jurang pendapatan jauh antara golongan kaya dan miskin, serta pencapaian sesuatu kaum dengan kaum yang lain tidak sama rata.
“WKB dilancarkan dengan tumpuan agar semua pihak akan menikmati kekayaan negara, sudah tentu ada miskin dan kaya, tetapi jarak mereka tidak begitu jauh.
“Sebab itu WKB menjadi wawasan yang amat penting, tujuannya untuk mengurang jarak antara miskin dan kaya, antara satu kaum dengan kaum lain dan yang lebih utama golongan miskin perlu sambut kaedah yang ditentukan kerajaan untuk menolong mereka (melalui WKB),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Disember di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata, golongan miskin sebenarnya mempunyai masa yang cukup untuk menambah pendapatan melalui pelbagai sumber dan bukan hanya melakukan satu kerja, antaranya dengan berniaga dan menjadi usahawan. Katanya, kerajaan akan mengenalpasti apa pekerjaan dan perusahaan yang boleh diusahakan rakyat, kerana walaupun ada syarikat besar memberi peluang kerja, tidak cukup untuk menampung keperluan.
“Untuk cari pendapatan lebih, maka perlu berusaha sendiri dengan sedikit bantuan dan tunjuk ajar daripada kerajaan. Kita lihat sekarang ini orang yang dulu miskin kini kaya, malah menjadi jutawan. Umpamanya mereka yang terbabit dalam perusahaan tudung, begitu juga mereka yang mengeluarkan produk makanan yang dijual dalam botol dengan label terbaik.
“Ini caranya atasi kemiskinan, bukan kerajaan beri Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) atau duit percuma, kalau usaha sendiri dengan bantuan dan kemudahan disediakan seperti pinjaman modal dan latihan berkenaan perniagaan, saya yakin golongan miskin dapat tambah pendapatan,” katanya.
Dr Mahathir berkata, jurang kemiskinan yang melebar serta jarak pencapaian antara kaum yang jauh, boleh menyebabkan negara berdepan huru-hara dan revolusi, seperti berlaku di beberapa negara di dunia.
“Kita bernasib baik di Malaysia tak ada revolusi, walaupun ada percubaan untuk jatuhkan kerajaan pilihan rakyat pada mulanya, tetapi selepas itu aman dan tiada lagi usaha menjatuhkan kerajaan secara ganas, kita bersyukur. Tetapi masalah perpisahan miskin dan kaya serta antara kaum, keadaan ini amat tidak sihat dan mungkin cetus huru-hara, jika berlaku maka Malaysia akan lebih mundur,” katanya.
Berikutan itu, Dr Mahathir meminta pegawai kerajaan untuk memberi teguran dan tunjuk ajar kepada rakyat miskin supaya mereka dapat berubah.
“Kalau dapat tangani (isu kemiskinan) maka negara kita dapat membangun dengan lebih pesat, mungkin kita akan termasuk dalam (senarai) negara maju seperti Jepun, Korea Selatan dan China,” katanya.
Sumber : BH Online