Input your search keywords and press Enter.

Kuasa Agong Dalam Menangani Krisis Politik

M Update, 27/2/2020 – Keterampilan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Ketua Utama Negara Malaysia dan “Payung Negara” menjadi kunci utama meleraikan konflik politik yang sedang melanda negara.

Beberapa perkembangan terkini menggoncang kepimpinan serta pentadbiran negara dengan yang paling mengejutkan, tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan pada 24 Feb sebagai perdana menteri dan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Perletakan jawatan Dr Mahathir sebagai perdana menteri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong yang kemudian melantik beliau sebagai perdana menteri interim (sementara). Peletakan jawatan Perdana Menteri juga membawa maksud peletakan jawatan seluruh anggota Kabinet. Kelmarin (25 Feb), di perkarangan Istana Negara, Al-Sultan Abdullah bertitah baginda akan melaksanakan tanggungjawab baginda bagi mencari penyelesaian terbaik dalam menangani perkembangan politik semasa negara.

Satu daripada tindakan yang diambil baginda ialah menemu bual sendiri semua 221 Ahli Parlimen (tidak termasuk Dr Mahathir) pada 25 Feb dan 26 Feb bagi mendapatkan maklum balas serta pendapat setiap anggota Dewan Rakya, antaranya mengenai situasi politik negara. Menurut pakar perlembagaan negara, Professor Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz, peranan penting Yang di-Pertuan Agong dapat dilihat dengan lebih mudah dalam keadaan seperti ini kerana sesuai dengan peranan baginda sebagai pengimbang kepada pelaksanaan sistem demokrasi negara.

Beliau memberitahu Bernama, takhta Yang di-Pertuan Agong yang seringkali dianggap segelintir masyarakat hanya sekadar simbol hari ini terbukti dalam memainkan peranan sebagai pengimbang yang bijaksana kepada kestabilan keadaan politik negara.

“Kemelut politik kali ini menampilkan kesukaran tertentu terutamanya dalam menangani perkara sensitif dan persoalan perundangan yang tidak nyata secara harfiah dalam Perlembagaan. “Namun, sehingga kini Yang di-Pertuan Agong telah menzahirkan kebijaksanaan baginda sehingga menambahkan keyakinan rakyat bahawa kemelut politik ini akan dapat diselesaikan dengan sempurna.

“Pelaksanaan peranan baginda sebagai Ketua Utama Negara dalam menentukan Perdana Menteri Malaysia adalah antara peranan yang paling mencabar, ” tambahnya.

KEADAAN BERBEZA

Pada pandangan Shamrahayu, mungkin sebelum ini rakyat tidak nampak fungsi Yang di-Pertuan Agong kerana keadaan politik negara stabil.

“Situasi dahulu dangan sekarang berbeza. Saya fikir penyerlahan peranan dan kuasa raja sudah dapat boleh dilihat pada masa sekarang dan institusi Raja akan memainkan peranan lebih besar lagi pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, sistem perlembagaan yang diamalkan Malaysia berbeza dengan apa yang diamalkan di England. Antara bukti perbezaan itu adalah keputusan yang dibuat institusi beraja di England harus mendapat pengesahan dari Parlimen namun hal ini tidak berlaku di Malaysia.

Keputusan yang dibuat sultan pada peringkat negeri disahkan oleh Dewan Diraja mengikut Perlembagaan negeri, manakala Yang di-Pertuan Agong pada peringkat Persekutuan pula dipilih dan dilantik serta bersaksikan para ahli Majlis Raja-Raja dan bukannya Ahli Parlimen. Di Malaysia, peranan dan kuasa raja-raja dalam sistem raja berperlembagaan ditulis dengan jelas dalam perlembagaan negara yang merupakan undang-undang tertinggi negara.

TITAH DIRAJA

Tindakan Seri Paduka menitahkan setiap Ahli Dewan Rakyat menghadap baginda bagi mendapatkan pengesahan dan kenyataan tentang kepercayaan mereka tentang landskap politik negara adalah yang pertama kali berlaku di peringkat Persekutuan.

“Pendekatan yang diambil oleh Al-Sultan Abdullah ini menjadi satu titik sejarah kepada negara dalam membina convention atau amalan perlembagaan bagi negara kita dengan mengambil pendirian tentang beberapa perkara yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Shamrahayu.

Menurut beliau, perkara sama pernah berlaku pada peringkat negeri apabila Almarhum Sultan Azlan Shah juga memperkenalkan langkah sama dalam mengimbangi suasana politik tidak menentu di negeri Perak suatu ketika dahulu.

Melalui tindakan ini dapat dilihat bahawa Seri Paduka amat memahami keresahan para ahli Dewan Rakyat sehingga memberikan mereka ruang untuk menyatakan pandangan secara peribadi kepada baginda.

“Moga pendekatan bijaksana yang diambil oleh baginda Yang di-Pertuan Agong pada hari ini dapat menzahirkan keadilan kepada semua pihak dan juga dapat membuktikan pelaksanaan peranan baginda dengan adil dan saksama sebagaimana baginda zahirkan dalam sumpah takhta baginda dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan,” kata Shamrahayu.

PERUNTUKAN PERLEMBAGAAN

Beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan menggariskan peranan Yang di-Pertuan Agong. Peruntukan berkenaan termasuklah Perkara 39 yang mengisytiharkan bahawa kuasa eksekutif adalah terletak hak ke atas Yang di-Pertuan Agong dan kuasa baginda berhak melaksanakan kuasa eksekutif tersebut.

Dalam keadaan politik semasa, perkara ini dijadikan asas kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri Interim bagi membantu baginda melaksanakan kuasa elsekutif baginda. Shamrahayu berkata, Perkara 40(2) pula memberikan kuasa budi bicara kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri.

“Kuasa budi bicara ini ‘diikat’ dengan syarat bahawa seseorang yang akan dilantik sebagai Perdana Menteri hendaklah seorang Ahli Dewan Rakyat, dan juga seseorang yang pada hemat baginda, mungkin mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat (Perkara 43(2)(a) , ” tambahnya.

Selain dua syarat di atas, Yang di-Pertuan Agong juga hendaklah memastikan bahawa calon tersebut bukan seorang yang mendapat taraf kewarganegaraan dengan cara pendaftaran atau naturalisasi (Perkara 43(7) ).

Tambah beliau, perkara lain berkaitan ialah kuasa Yang di-Pertuan Agong berkaitan pembubaran Dewan Rakyat seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 55(2) yang menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog (menangguh) atau membubarkan Parlimen.

“Sangat penting untuk semua rakyat Malaysia memahami peranan dan fungsi institusi beraja di negara kita, sama ada pada peringkat Persekutuan dan juga pada peringkat negeri,” kata beliau lagi. – HM Online

Leave a Reply