M Update, 4/3/2020 – Polis menahan seorang lagi lelaki semalam, kerana mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan menerusi Facebook terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.
Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek berusia 42 tahun ditahan di Seremban, Negeri Sembilan.
“Kita tahan seorang lelaki semalam bagi bantu siasatan kes hina Agong dan Sultan Johor. “Kes ini tiada kena mengena dengan lima individu yang diburu kerana menghina Agong, seperti disebut Timbalan Ketua Polis Negara (Datuk Mazlan Mansor).
“Kita ada tahan beberapa individu terbabit dengan kes itu yang dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman. Maklumat terperinci mengenainya akan dimaklumkan kemudian,” katanya pada BH, hari ini.
Semalam, Mazlan dilaporkan berkata polis menahan lima individu dan membuka 10 kertas siasatan membabitkan kes menghina Yang di-Pertuan Agong di laman sosial Facebook, setakat ini. Mazlan dipetik berkata, pihaknya masih mengesan lima individu lagi yang disyaki terbabit melakukan perkara sama. – HM Online