M Update, 15/4/2020 – Sebanyak 1.7 juta penutup hidung dan mulut mula diedarkan secara percuma kepada setiap isi rumah di ibu negara termasuk kawasan perumahan awam, projek perumahan rakyat dan penempatan sementara gelandangan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata pengagihan penutup hidung dan mulut itu membabitkan empat zon perumahan awam dan 366 persatuan penduduk, yang mula diedarkan pada 10 April lalu.
“Penutup hidung dan mulut itu diedarkan kepada persatuan penduduk melalui pejabat cawangan DBKL di 11 kawasan Parlimen yang berkenaan,” katanya kepada Bernama.
Pada 8 April lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sejumlah 24.62 juta penutup hidung dan mulut sedang dalam proses pengedaran kepada setiap rakyat secara percuma di seluruh negara dengan setiap isi rumah menerima empat keping penutup hidung dan mulut. – Bernama