M Update, 27/4/2020 – Rakyat diseru untuk melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku insiden pencerobohan hutan atau pemburuan haram, dalam usaha melindungi dan memulihara haiwan hutan yang diancam kepupusan termasuklah Tapir Malaya.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dalam kenyataan hari ini berkata ini adalah penting bagi memastikan populasi keluarga badak itu tidak menerima nasib yang sama seperti Badak Jawa dan Badak Sumatera yang telah pupus dalam negara.
“Ancaman utama Tapir Malaya atau dikenali juga sebagai tenuk, cipan, Badak Tampung, Badak Tuli dan Badak Murai ialah kehilangan habitat, fragmentasi hutan dan isu penukaran guna tanah… Tapir Malaya sering menjadi mangsa kemalangan jalan raya dan menjadi mangsa jerat oleh pemburu haram hidupan liar.
“Kita mesti belajar daripada kesilapan lalu dan mempertingkatkan usaha untuk memastikan masalah kepupusan itu tidak berulang… kementerian melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan terus menggandakan usaha untuk menjaga dan memulihara Tapir Malaya,” katanya bersempena Hari Tapir Sedunia.
Hari Tapir Sedunia disambut pada 27 April setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan konservasi spesies tapir dan habitatnya di seluruh dunia yang diancam kepupusan. Shamsul berkata dari Januari hingga Mac tahun ini, sebanyak 10 kes kematian Tapir Malaya direkodkan akibat menjadi mangsa kemalangan jalan raya manakala 12 kes sepanjang tahun lepas.
“Sepanjang tempoh 2013 hingga 2019, sebanyak 84 ekor Tapir Malaya telah mati akibat kemalangan jalan raya… trend ini dilihat semakin membimbangkan pada tiga bulan pertama tahun ini,” katanya.
Katanya, pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi mengurangkan kes kemalangan jalan raya hidupan liar termasuklah memasang jalur rentas kuning, solar amber light dan papan tanda lintasan hidupan liar di beberapa lokasi yang dikenal pasti.
Beliau berkata aspek pemuliharaan habitat Tapir Malaya juga diberi tumpuan dengan mewujudkan kawasan perlindungan dan rangkaian koridor ekologi, antaranya program konservasi In-Situ dan Ex-Situ, selain membangunkan Pelan Konservasi Tapir Malaya 2020-2030 (MaTCAP) bagi meningkatkan pengurusan Tapir Malaya di negara ini.
“In-Situ meliputi pemantauan taburan Tapir Malaya di habitat asal dan operasi menyelamat Tapir Malaya yang tercedera dan terkeluar daripada habitatnya manakala Ex-Situ pula melibatkan aktiviti pembiakan tapir dalam kurungan di Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun, Selangor.
“Selain itu, program kerjasama dengan pelbagai agensi dalam dan luar negara bagi penyelidikan dalam bidang ekologi, kelakuan, nutrisi, pembiakan dan genetik turut diberi perhatian,” katanya. – BERNAMA