M Update, 28/7/2020 – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata amalan mengibar Jalur Gemilang seharusnya sudah dibudayakan dalam kehidupan seharian masyarakat setelah sekian lama negara menikmati kebebasan dan kemerdekaan.
Pada majlis pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 di sini, Muhyiddin berkata Jalur Gemilang merupakan lambang kedaulatan dan kemerdekaan negara dan bukan sekadar selembar kain yang mencorakkan perlambangan negara.
“Kita semua dengan sendirinya dengan rela hati mengibarkan dengan megah Jalur Gemilang di sepanjang tahun, tanpa perlu menunggu adanya program sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang.
“Apabila kesedaran ini sudah ada dalam diri setiap orang, maka ia bermakna kita telah berjaya menjiwai kemerdekaan negara ini,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020. — BERNAMA