M Update, 14/12/2020 – Minggu terakhir Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bermula hari ini amat ditunggu-tunggu bagi melihat sama ada Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 diluluskan untuk bacaan kali ketiga yang dijadualkan Rabu ini.
Selepas mengharungi pelbagai episod di dalam dan luar dewan selain perkembangan semasa tanah air kebelakangan ini, Belanjawan 2021 diluluskan dengan undian suara majoriti peringkat dasar pada 26 November lalu selepas dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, pada 6 November lalu.
Di peringkat jawatankuasa, walaupun blok pembangkang acap kali membangkitkan undian belah bahagian, setakat ini 22 kementerian sudah melepasi ujian itu di Dewan Rakyat dengan sebahagian besarnya menerusi undian suara majoriti.
Lapan kementerian diluluskan menerusi undian belah bahagian setakat ini iaitu Kementerian Kewangan, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).
Tiga lagi adalah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Hari ini, tiga lagi kementerian akan melalui perbahasan peringkat jawatankuasa iaitu Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) manakala Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dijadualkan esok.
Pensyarah kanan pengajian politik di Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr Mazlan Ali, yakin RUU Perbekalan 2021 bagi baki lima kementerian akan diluluskan sama ada melalui undian suara majoriti atau belah bahagian.
Berdasarkan pemerhatian sepanjang perbahasan dan sesi undian 22 kementerian sebelum ini, katanya, blok pembangkang dilihat tidak sependapat ketika mengundi.
“Ada juga pandangan individu (Ahli Parlimen pembangkang) kerana belanjawan ini adalah masalah rakyat serta negara, jadi tidak perlu terlalu dipolemikkan.
“Atas dasar itu, saya yakin baki lima kementerian akan berjalan lancar dan tidak berlaku penolakan ketara manakala dalam kalangan blok kerajaan, saya rasa tidak akan ada masalah,” katanya.
Walaupun berbeza pendapat di dewan, beliau berkata, rata-rata Ahli Parlimen sama ada di blok kerajaan mahu pun pembangkang tetap menjadikan kepentingan rakyat sebagai agenda utama ke arah meluluskan Belanjawan 2021, terutama ketika negara berdepan ancaman COVID-19.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat hari ini, isu memulihkan aliran tunai dan hutang korporat FELDA antara menjadi tumpuan pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.
Soalan itu dibangkitkan oleh Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) kepada Perdana Menteri.
Selain isu FELDA, perbezaan status kemajuan projek Lebuh Raya Pan Borneo antara Sabah dan Sarawak turut ditimbulkan pada sesi berkenaan.
Soalan itu ditanya oleh Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) yang meminta Menteri Kanan (Kerja Raya) menyatakan sebab kenapa projek berkenaan hanya mencapai kemajuan antara 18 hingga 20 peratus di Sabah berbanding 50 peratus di Sarawak setakat September lalu.