M Update, 01/03/2021 – Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menasihati Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membubarkan Parlimen selepas masalah COVID-19 diatasi.
Tegas Perdana Menteri, ia akan membolehkan pilihan raya diadakan sekali gus rakyat bebas memilih kerajaan mana yang layak untuk memerintah.
“Buat masa ini, berilah ruang kepada kerajaan untuk tumpukan sepenuh perhatian kepada usaha mengawal penularan wabak ini. Fokus utama kerajaan ketika ini adalah untuk memulihkan krisis kesihatan dan ekonomi di negara ini.
Sejurus selepas pandemik ini berakhir, dan saya berharap ia akan berakhir secepat mungkin, saya akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.”
Tetapi sebelum ia dilaksanakan, saya dan barisan jemaah Kabinet akan menjalankan tugas dan tanggungjawab kami. Apabila pilihan raya umum dilakukan, saya akan memberikan mandat itu kepada rakyat untuk memilih sama ada kerajaan Perikatan Nasional akan dipilih semula atau sebaliknya.
Anda bebas memilih dan itu adalah demokrasi yang sebenarnya,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan akan mengambil kira situasi pandemik dan program imunisasi dalam kalangan rakyat sebelum mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 bagi mengelak tercetusnya gelombang baharu penularan COVID-19 dalam negara.
Jelasnya, pilihan raya hanya akan diadakan apabila negara benar-benar pulih daripada pandemik itu. Ianya bagi memastikan kerajaan bertanggungjawab kepada rakyat dan saya berdoa biarlah penyakit ini berkurangan di negara kita, dan imunisasi telah dilakukan, barulah kita adakan pilihan raya,” kata Hamzah. – Astro Awani