M Update, 11/0/2022 – Orang ramai tidak perlu terlalu bimbang dengan peningkatan mendadak jangkitan COVID-19 beberapa hari lalu, sebaliknya disaran terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Pakar Kesihatan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata peningkatan kes COVID-19 itu dari kategori 1 dan 2 yang tidak bergejala, namun tetap membimbangkan khusus kepada golongan rentan.
Katanya, virus Omicron tidak terlalu ‘mengganas’, namun golongan rentan kumpulan paling membimbangkan kerana mudah dijangkiti hingga ke tahap 3 dan 5 seterusnya membabitkan kematian.
Sekurang-kurangnya lima peratus individu rentan dijangkiti berada pada tahap 3 dan 5. Jadi, kita tidak mahu perkara ini berlaku hingga mengakibatkan kematian dan memberi kesan kepada kesukaran untuk menuju endemik. Amalan SOP yang ketat perkara paling penting sepanjang masa. Jangan sesekali lalai dan membuat kesimpulan sendiri individu yang dijumpai tidak membawa virus berkenaan,” katanya.
Dr Sharifa Ezat berkata, walaupun negara sedang menuju ke arah endemik, situasi belum mencapai indikator ditetapkan oleh kerajaan, antaranya peratusan dos penggalak yang diambil oleh orang ramai.
Untuk memastikan penyakit ini boleh diumpamakan seperti selesema biasa pada masa akan datang, dapatkan dos penggalak, kanak-kanak divaksin dan kekal patuhi SOP. Sekiranya dijangkiti selepas ini, ia mungkin tidak bergelaja dan tiada kematian dicatatkan,” katanya.
Beliau berkata, SOP perkara penting dipatuhi kerana dibimbangi akan wujud virus baharu atau varian COVID-19 lain yang muncul sama ada lebih ganas atau sebaliknya.
Dalam masa yang sama, wajar untuk kerajaan mengetatkan kembali sekatan seperti hanya membenarkan 70 peratus kapasiti pekerja di dalam pejabat dan sekolah menjalani penggiliran. Masyarakat kita, apabila sudah duduk beramai-ramai, adakalanya mereka terlupa berkenaan SOP dan akhirnya angka tetap akan naik. – BH Online