Pertimbang Penguatkuasaan Usir Warga Asing Langgar Undang-Undang

M Update, 11/04/2022 – Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk menguatkuasakan tindakan pengusiran dari negara kepada warga asing yang melanggar undang-undang atau terlibat dengan jenayah.

Peguam di Tetuan Akram Hizri Azad & Azmir, Muhammad Akram Datuk Dr Abdul Aziz berkata, sekiranya perkara itu tidak diselia dari awal, ia dikhuatiri akan memberikan implikasi buruk kepada negara.

“Mungkin kes-kes sebegini tidaklah banyak jika dibandingkan dengan jumlah warga asing yang ada di negara ini. Namun ia bukanlah yang pertama dan saya percaya pihak media juga telah beberapa kali melaporkan kes sebegini. Maka, tindakan sewajarnya perlu diambil seawal mungkin untuk mengelakkan perkara ini berulang,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pada Sabtu, polis menahan dua peniaga warga asing yang meludah dan melakukan provokasi terhadap penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur. Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Heisham Harun berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika anggota penguat kuasa melakukan pemeriksaan di kawasan kaki lima berhampiran sebuah bank.

Mengulas lanjut, Muhammad Akram berkata, jumlah pegawai penguat kuasa sedia ada yang terhad juga menyebabkan tindakan penguatkuasaan dilihat sukar untuk dilakukan secara menyeluruh.

“Perlu diingat bahawa jumlah pegawai penguat kuasa sedia ada juga tidaklah ramai dan mereka perlu mengawal dan menguatkuasakan undang-undang bukan sahaja terhadap warga asing, tetapi rakyat Malaysia juga. Jadi perkara ini secara tidak langsung menyulitkan proses penguatkuasaan tersebut,” ujarnya.

Sumber: Sinar Harian