M Update, 12/05/2022 – Kerajaan memutuskan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) bagi pemberian vaksin dos pertama dilanjutkan sehingga 31 Mei ini.
Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (CITF-C) pada Selasa lalu.
Katanya, ia dengan mengambil kira sambutan Hari Raya Aidilfitri dan cuti kelepasan am yang jatuh pada tarikh akhir pemberian vaksin serta penutupan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Tindakan ini memberi peluang kepada ibu bapa yang masih ingin mendapatkan vaksin Covid-19 untuk anak mereka. Bagaimanapun, keputusan menetapkan tarikh akhir pendaftaran dan tempahan janji temu vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera iaitu pada 8 Mei 2022, dikekalkan dan tempahan janji temu tidak akan lagi diterima selepas tarikh tersebut,” katanya hari ini.
Noor Azmi berkata, selepas 31 Mei ini, kanak-kanak tidak lagi ditawarkan vaksin secara percuma di bawah PICKids yang mana mereka perlu mendapatkan vaksin yang ditawarkan secara berbayar di pasaran swasta.
Beliau berkata, bagi ibu bapa yang mendaftar dan membuat janji temu sebelum atau pada 8 Mei 2022 dan memilih tarikh vaksinasi sebelum atau pada 31 Mei ini, boleh meneruskan janji temu yang dipilih.
“Bagi ibu bapa yang mendaftar dan membuat janji temu sebelum atau pada 8 Mei 2022 tetapi memilih tarikh vaksinasi selepas 31 Mei 2022, janji temu dalam aplikasi MySejahtera akan terbatal secara automatik. Maka, ibu bapa terbabit boleh membawa anak mendapatkan vaksinasi Covid-19 secara walk-in di Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.
Bagi ibu bapa yang mendaftar selepas 8 Mei 2022 pula, katanya, pautan tempahan janji temu dalam aplikasi MySejahtera tidak akan diberikan,” katanya. – Kosmo