M Update, 19/02/2024 – Panas isu beras sejak kebelakangan ini. Spekulasi membabitkan industri beras negara, terutama berkaitan soal jenama serta gred beras putih ketika ini dilihat menimbulkan persoalan mengenai konsep persefahaman serta kebersamaan antara kementerian dan agensi kerajaan dalam pelaksanaan satu dasar atau perancangan kerajaan.
Kenyataan saling berbeza dinyatakan menteri dan ketua agensi kerajaan dalam menguruskan isu beras serta harganya sepatutnya tidak terjadi kerana mesyuarat Jemaah Menteri diadakan pada setiap minggu, sudah tentu memberi input dan maklumat selaras kepada setiap menteri atau timbalan menteri.
Namun, apabila wujud kenyataan berbeza atau bercanggah antara menteri yang terkait dengan industri beras negara, tentu menimbulkan kesangsian umum terhadap tahap kemampuan Kabinet membuat keputusan dalam isu penting negara.
Bahkan, perbezaan kenyataan ini seperti ‘menembak kaki sendiri’ Kerajaan Perpaduan dan lebih malang lagi hanya menjadi senjata kepada pembangkang untuk menyerang kerajaan.
Sepatutnya dalam situasi hari ini ketika negara berdepan dengan isu keterjaminan makanan, pengguna menanggung kenaikan harga barang dan kos sara hidup, inflasi serta kemerosotan nilai ringgit yang mempengaruhi kehidupan rakyat, pemimpin kerajaan sepatutnya perlu lebih cermat dan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.
Percanggahan ketara dalam mengeluarkan kenyataan antara pemimpin tentu mencalar imej kerajaan, mencetus persoalan terhadap kewibawaan menteri dan ketua jabatan untuk memimpin kementerian atau agensi bertanggungjawab pada mata masyarakat.
Perlu disedari bahawa rakyat waktu ini sedang memerhati dan menilai keupayaan kerajaan mentadbir termasuk memulihkan ekonomi negara. Justeru, jika berlaku percanggahan kenyataan membabitkan dasar, kerajaan sudah tentu ia membawa imej tidak baik kepada kerajaan.
Ketika rakyat amat mengharapkan perubahan lebih positif dalam aspek kehidupan mereka terutama ekonomi, sosial dan politik, kerajaan seharusnya berusaha mengecilkan sebarang risiko atau meminimumkan ‘kecacatan’ yang berlaku dalam jentera pentadbiran.
Dalam pada itu, pegawai tertinggi kerajaan juga seharusnya lebih proaktif dan teguh pendirian bertugas mengikut Tatakelakuan Dan Pengurusan Tatatertib Pegawai Awam bagi memenuhi peranan serta fungsi perkhidmatan termasuk menjaga reputasi kementerian serta jabatan tempat bertugas.
Pegawai dan penjawat awam turut bertanggungjawab menasihat, menegur dan memperbetulkan apa-apa kepincangan atau kelemahan kenyataan yang wujud bagi mengelak kekeliruan serta salah faham masyarakat terhadap kementerian, agensi dan kerajaan.
Apa yang penting, persefahaman dan kebersamaan anggota Jemaah Menteri dalam mengeluarkan kenyataan terhadap sesuatu isu perlu diperkukuhkan dan diselaras lebih jitu bagi mengelak wujud salah faham serta kekeliruan rakyat pada pada masa depan.
Sumber : BH