Input your search keywords and press Enter.

Penyasaran Subsidi Diesel: Subsidi Tambahan RM100 Juta Untuk FELDA – PM

M Update, 15/07/2024 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan subsidi tambahan sebanyak RM100 juta kepada Felda semalam.

Ini bagi menampung peningkatan kos operasi ladang susulan penyasaran diesel. Peruntukan berkenaan dipersetujui selepas Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengadakan rundingan dengannya berhubung isu dihadapi peneroka Felda susulan keputusan penyasaran subsidi diesel.

“Adakah pelaksanaan penyasaran subsidi (diesel) boleh 100 peratus sempurna? Ahmad Shabery telah bawa dalam (isu dihadapi Felda) selepas mesyuarat Jemaah Menteri.

“(Beliau tanya) bagaimana tentang peneroka Felda? Mereka guna peralatan (libatkan diesel), maka saya setuju (lulus peruntukan tambahan RM100 juta),” katanya.

Harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter bermula 10 Jun iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik.

Sebelum ini, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata untuk tempoh seterusnya, harga diesel akan diumumkan setiap minggu mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan, dan kerajaan akan terus memantau keadaan bagi mengelak ketidakstabilan harga.

Berhubung penyasaran subsidi diesel, Anwar meminta semua pihak berunding untuk mendapatkan manfaat daripada kerajaan dan bukannya mencaci di mana-mana platform.

Perdana Menteri sekali lagi menegaskan langkah penyasaran subsidi diesel oleh kerajaan dibuat bagi memastikan ia tidak dinikmati golongan yang tidak berhak seperti warga asing dan syarikat maha kaya.