Input your search keywords and press Enter.

Pantomim Khas ‘Op Subuh’ Sempena Hari Pahlawan Meruntun Jiwa

Antara sebahagian persembahan pantomim ‘Op Subuh’ pada Sesi Raptai Istiadat Perbarisan sempena Sambutan Hari Pahlawan Tahun 2024 di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya, baru-baru ini. Foto: BERNAMA

M Update, 31/07/2024 – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan sempena Sambutan Hari Pahlawan 2024 di Dataran Pahlawan, di sini, hari ini.

Istiadat sambutan yang dinaungi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu berkonsep perbarisan statik membabitkan empat detasemen terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), ATM, Persatuan Veteran ATM (PVATM) dan Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM).

Acara dimulakan dengan persembahan lagu Negaraku diiringi 21 das tembakan meriam yang disempurnakan oleh Mejar Hafizan Mat Ghani daripada 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat). Sultan Ibrahim kemudian memeriksa kawalan kehormatan utama.

Perbarisan Hari Pahlawan, hari ini, membabitkan 17 pegawai dan 683 anggota lain-lain pangkat daripada PDRM serta ATM yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Abang Raduan Abang Madihi daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Istiadat kemudian diteruskan dengan tiupan Paluan Akhir yang dikenali sebagai ‘Last Post’ dengan menurunkan Jalur Gemilang, manakala semua tetamu yang hadir berdiri memberikan tabik hormat ketika Jalur Gemilang diturunkan.

Pengisian istiadat diteruskan dengan persembahan pantomim khas bertajuk ‘Op Subuh’ oleh PDRM dan ATM yang berkisarkan tragedi berdarah pada 6 Julai 2000.

Ia merupakan hasil karya gandingan Panglima Briged Kedua Infranti Malaysia, Briged Jeneral Datuk Asri Shukor, bersama Pegawai Staf II Latih Markas 4 Divisyen, Mejar Fitri Vinoth Ridzuan Sugumaran, yang dipersembahkan oleh 85 pegawai serta anggota ATM dan PDRM.

Pantomim ‘Op Subuh’ menceritakan insiden pertempuran antara pasukan keselamatan negara dengan sekumpulan individu menggelar diri mereka sebagai ‘Al-Maunah’ di Bukit Jenalik, Sauk, Perak, yang merancang untuk menggulingkan kerajaan pada Julai 2000.

Perasaan sedih dan pilu terserlah pada wajah Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah serta beberapa tetamu kehormat ketika menyaksikan persembahan pantomim yang turut disulami dengan dendangan lagu Seniman Agung Negara, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, bertajuk ‘Di Mana Kan Ku Cari Ganti’ dan lagu penuh emosi ‘Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu’ nyanyian penyanyi legenda, Uji Rashid.

Persembahan turut meruntun jiwa apabila deklamasi sajak bertajuk ‘Jenalik Berdarah’ disampaikan oleh Sarjan Siti Nur Aini Jasni dan Inspektor Muhammad Faizul Mustafa sejurus replika keranda dua perwira negara yang terkorban dalam tragedi berdarah itu dibawa masuk.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong juga berkenan mencemar duli menyantuni ahli keluarga mangsa yang terkorban, selepas persembahan pantomim itu tamat.

Sambutan Hari Pahlawan yang diraikan sejak 31 Julai 1960, merupakan manifestasi penghormatan kepada pegawai dan anggota ATM serta PDRM dalam mengenang jasa perwira tanah air yang gugur ketika mempertahankan kedaulatan negara. – BERNAMA