M Update, 07/10/2024 – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menegaskan negeri itu tidak akan bertolak ansur dengan acara tidak senonoh serta lucah seperti yang tular melibatkan program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di Bandar Penawar, Kota Tinggi, kelmarin.
Tunku Mahkota Ismail bertitah, tindakan sudah diambil terhadap pihak yang terbabit.
“Tindakan sudah diambil dan pelakunya sudah ditahan. Tiada toleransi di Johor,” titah baginda melalui aplikasi X HRH Crown Prince of Johor semalam.
Sementara itu, pihak pengurusan Lotus Desaru Beach Resort & Spa memaklumkan pembabitan pihak Lotus Desaru dalam acara Pan-Asian Hash 2024 yang diadakan di resort itu terhad kepada penyediaan penginapan dan perkhidmatan makanan untuk peserta.
Lotus Desaru dalam satu kenyataan menjelaskan, Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 itu satu acara amal disertai lebih 2,000 peserta dari 42 negara. Menurut Lotus Desaru, program dianjurkan kumpulan Pan-Asian Hash itu untuk memupuk pembabitan komuniti dan meraikan semangat persahabatan antarabangsa.
“Kami ingin menegaskan penglibatan Lotus Desaru adalah terhad kepada penyediaan penginapan dan perkhidmatan makanan untuk peserta. Semua aktiviti dan program lain diuruskan sepenuhnya oleh kumpulan Pan-Asian Hash.
“Kami memahami beberapa aspek acara ini mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan komuniti,” katanya.
Menurut Lotus Desaru, sebagai penyedia perkhidmatan hospitaliti, fokus utama pihak hotel adalah untuk memberikan pengalaman berkualiti kepada tetamu. Katanya, pihak hotel tidak terbabit dalam perancangan atau pelaksanaan sebarang aktiviti yang tidak berkaitan dengan hospitaliti.
“Lotus Desaru berkomitmen untuk memupuk hubungan positif dengan komuniti tempatan dan akan memastikan bahawa acara-acara yang akan datang dilaksanakan dengan sensitiviti dan kesedaran yang lebih tinggi,” katanya.
Terdahulu tular foto dan video berdurasi tujuh saat dalam satu Facebook berkenaan program larian antarabangsa itu.
Foto dan video itu memaparkan sekumpulan penari wanita membuat persembahan dengan pakaian mencolok mata, selain terdapat peserta mengenakan pakaian seperti menyokong lesbian, gay, biseksual transgender (LGBT).
Polis mengesahkan menahan tiga lelaki termasuk dua warga asing berusia 39 hingga 79 tahun di sebuah hotel di daerah ini malam tadi bagi membantu siasatan berhubung perkara itu.