M Update, 22/10/2024 – Dakwaan bahawa usaha kerajaan membawa rakyat Palestin yang cedera ke negara ini untuk rawatan didorong oleh survival politik adalah tidak benar, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Misi kemanusiaan ini dilaksanakan berikutan kelumpuhan sistem penjagaan kesihatan di Gaza akibat serangan berterusan tentera Israel.
Dalam jawapan bertulis Parlimen semalam, beliau menjelaskan, kerajaan sentiasa prihatin terhadap penderitaan rakyat Palestin yang tertindas sejak beberapa dekad.
Kerajaan mengecam tindakan ganas oleh tentera Israel terhadap rakyat Palestin, terutama dalam serangan di Gaza, sejak 7 Oktober tahun lalu.
Atas dasar kemanusiaan dan solidariti dengan rakyat Palestin yang tidak bersalah, kerajaan mengambil inisiatif untuk membantu beberapa rakyat Palestin yang terjejas akibat peperangan dengan memberikan rawatan yang diperlukan, pembedahan, dan pemulihan.
Oleh itu, kerajaan percaya bahawa misi bantuan kemanusiaan ini untuk rakyat Palestin adalah usaha mulia yang harus disokong oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan agama, etnik, atau politik,” katanya sebagai menjawab Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan).
Sh Mohmed Puzi bertanya mengenai pendirian kerajaan terhadap sentimen ekstrem yang mempersoalkan usaha itu, dengan mengatakan bahawa tindakan tersebut bertujuan untuk survival politik.
Mengenai perkembangan terkini rawatan dan pemulihan rakyat Palestin yang dibawa ke Malaysia untuk tujuan perubatan, Khaled berkata, setakat 6 Oktober lalu, seramai 37 rakyat Palestin yang dirawat sudah dibenarkan keluar dari wad, dan empat pesakit masih menjalani rawatan. – BH