Input your search keywords and press Enter.

Keselamatan Sempadan Di Sabah Terjamin

M Update, 8/11/2024 – Situasi semasa ancaman keselamatan di Sabah adalah terkawal menerusi atur gerak pengoperasian aset dan anggota pasukan keselamatan dan penguat kuasa serta pelaksanaan pelbagai inisiatif keselamatan. Antaranya ialah menerusi pelaksanaan Operasi Sanggah di bawah seliaan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Selain itu, keselamatan di Sabah juga dijamin menerusi Operasi GASAK Laut dan Darat bagi membanteras elemen-elemen yang mempunyai kaitan dengan anasir asing, militan dan tali barut.

Operasi Bersepadu dan Operasi Bersepadu Khas dilaksanakan bagi menguatkuasakan undang-undang terhadap elemen-elemen jenayah rentas sempadan.

Kerajaan turut menggerakkan Operasi Pangkalan Pemeriksaan di Laut atau Sea Check Point melalui penguatkuasaan ke atas pergerakan kapal-kapal bukan konvensional dan bot-bot nelayan negara jiran di laluan khas yang ingin menjalankan aktiviti perdagangan barter trade atau transhipment di Sabah dan Labuan.

Seperti yang kita tahu, kedudukan strategik negeri Sabah yang bersempadan dengan negara Filipina dan Indonesia secara langsung mendatangkan ancaman keselamatan seperti penyeludupan barangan dan senjata, kemasukan pendatang haram, kumpulan ekstremisme dan ancaman penculikan untuk tebusan (Kidnapping For Ransom).

Semua ini kerajaan tangani melalui pasukan keselamatan negara seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan ESSCOM sentiasa komited untuk memelihara kedaulatan dan meningkatkan keselamatan serta ketenteraman awam di negeri Sabah.

ESSCOM telah memainkan peranan besar dalam memastikan keselamatan zon selamat di Sabah timur daripada elemen pencerobohan asing dan militan.

Buktinya, sejak 2020 sehingga kini, tiada insiden penculikan dilaporkan berlaku di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).