M Update, 28/11/2024 – Permohonan fasa satu untuk mengikuti pengajian Program Matrikulasi sesi 2025/2026 kepada pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, dibuka bermula 1 Disember ini hingga 28 Februari 2025.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan permohonan fasa dua dan proses kemas kini maklumat pelajar akan dibuka selama lima hari selepas keputusan SPM diumumkan.
Permohonan ke Program Matrikulasi KPM adalah percuma dan pelajar boleh memohon melalui laman https://matrikulasi.moe.gov.my.
“Keputusan permohonan akan dikeluarkan Bahagian Matrikulasi KPM menerusi laman sesawang dalam tempoh 21 hari bekerja selepas keputusan SPM 2024 diumumkan,” menurut kenyataan itu.
Pelajar yang berjaya mendapat tawaran ke Program Matrikulasi KPM perlu memuat turun dan mencetak sendiri surat tawaran serta dokumen pendaftaran melalui laman sesawang semakan keputusan tawaran program berkenaan.