Input your search keywords and press Enter.

UMS Tak Terlibat Perhimpunan Aman

Foto Hiasan

M Update, 30/12/2024 – ‘Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah’, esok yang dirancang sekumpulan pelajar menamakan diri sebagai Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS), tidak mewakili universiti itu atau mana-mana entitinya.

Menjelaskan perkara itu, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata kumpulan mahasiswa yang menganjurkan perhimpunan di hadapan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di Menara Kinabalu itu perlu mematuhi undang-undang.

“UMS menasihatkan kumpulan mahasiswa yang menganjur perhimpunan itu agar sentiasa mematuhi keperluan undang-undang berkaitan termasuk arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa demi kesejahteraan dan keselamatan mahasiswa serta ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu susulan laporan mengenai penganjuran perhimpunan berkenaan oleh sekumpulan pelajar UMS yang mahu meneruskannya meskipun bertembung dengan program lain di lokasi sama, esok.

Berdasarkan kenyataan sekretariat perhimpunan itu sebelum ini, mereka antara lain menuntut ketelusan dan kecekapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangani skandal rasuah ahli-ahli politik Sabah.

Mereka juga menyatakan bantahan terhadap pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah atas dakwaan pernah terbabit dengan skandal rasuah.

Kumpulan berkenaan turut menggesa Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meletakkan jawatan atas dakwaan kelemahan dalam mengurus negeri, termasuk skandal rasuah yang dikaitkan dengan ahli politik Sabah.

Sementara itu, Kasim berkata UMS menyediakan landasan dan saluran untuk mahasiswa membincangkan isu-isu semasa secara ilmiah dengan mengutamakan fakta serta wacana yang rasional dan beretika.

“Sebarang idea dan cadangan ke arah kesejahteraan masyarakat perlulah disampaikan secara berhemah kerana mahasiswa adalah golongan terpelajar yang mampu menyumbang kepada keharmonian masyarakat melalui tindakan matang yang berpandukan etika, peraturan dan undang-undang,” katanya.

Beliau turut menggesa agar pelajar lebih fokus kepada peperiksaan akhir yang akan berlangsung tidak lama lagi dan menyeru agar pelajar UMS tidak terbabit dalam perhimpunan yang boleh mengganggu-gugat keharmonian dan keselamatan awam. – BH