Input your search keywords and press Enter.

Kes Enam Rangka Manusia: Dua Suspek Tiba Di Mahkamah

Foto: Kosmo

M Update, 04/02/2026 – Dua suspek kes penemuan rangka manusia termasuk lima beranak di sebuah rumah terbakar di kawasan kebun kelapa sawit di Kangkar Pulai, Skudai bulan lalu, tiba di Kompleks Mahkamah di sini pagi ini untuk menghadapi pertuduhan.

Kedua-dua lelaki warga tempatan itu tiba sekitar jam 9 pagi menaiki kenderaan polis dengan kawalan ketat. Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun hingga maksimum 40 tahun serta sebatan sekurang-kurangnya 12 kali.

Suspek yang dipercayai mempunyai hubungan sebagai rakan kepada dua mangsa dewasa dilihat hadir berasingan dengan berpakaian biasa dan bergari.

Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, suami kepada seorang daripada mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada 9 Januari lalu, selepas menemui rangka manusia ketika mencari isteri dan anak-anaknya yang dilaporkan hilang.

Susulan penemuan itu, pasukan patologi forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) bersama forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor menjalankan pemeriksaan dan bedah siasat ke atas rangka yang ditemui di rumah berhampiran sebuah kuil terbiar.

Hasil siasatan mendapati enam mangsa terdiri daripada seorang wanita dewasa berusia 35 tahun, seorang remaja perempuan 19 tahun, dua kanak-kanak perempuan masing-masing berusia sembilan dan lima tahun, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun serta seorang lelaki dewasa berusia 29 tahun.

Hasil siasatan serta risikan lanjut, polis menahan empat individu warga tempatan membabitkan tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 hingga 35 tahun di sekitar Iskandar Puteri pada 21 Januari lalu bagi membantu siasatan.