Input your search keywords and press Enter.

Kebakaran Terbesar 1944 di Kota Bharu

Pada hari ini 17 Januari 1944 telah berlaku satu kebakaran besar yang telah mencatat sejarah di negeri Kelantan telah berlaku di bandar Kota Bharu yang menjadi ingatan dan sebutan penduduknya. Kebakaran telah berlaku kira-kira jam 2.30 petang, kejadian bermula di sebuah kedai dan kilang kayu kepunyaan seorang Cina berhampiran Pengkalan Masjid Besar di tepi Sungai Kelantan.

Gambar Hiasan

Kebakaran besar tersebut telah memusnahkan 2 buah kilang dan stor kayu serta rumah-rumah penduduk kawasan itu yang terletak di sepanjang Sungai Kelantan. Api merebak dengan cepat memandangkan kedudukan rumah yang rapat dan bahan binaannya terdiri dari kayu dan atap nipah. Keadaan menjadi lebih buruk ditambah dengan angin ribut yang kencang ketika itu. Ini kerana monsun timur-laut belum lagi berakhir sepenuhnya.

Kebakaran besar yang mengambil masa lebih daripada satu jam itu telah melenyapkan seluruh kawasan perkampungan dan kilang-kilang di sekitarnya. Negeri Kelantan ketika itu berada di bawah pentadbiran tentera Thai selepas diserahkan oleh Jepun kepada Kerajaan Thai melalui perjanjian antara keduanya pada 20 Ogos 1943.

Keadaan ekonomi ketika itu agak teruk ditambah pula dengan kejadian kebakaran yang telah melumpuhkan lagi pendapatan ekonomi rakyat dan negeri Kelantan amnya.

Kemudahan-kemudahan peralatan memadam kebakaran tidak mencukupi dan orang ramai terpaksa bertungkus-lumus membantu mencegah kebakaran daripada terus merebak.

Sumber:ArkibNegara

Leave a Reply