M Update, 12/2/2019 – Seramai 23 penduduk dari empat keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan awal pagi tadi selepas rumah mereka di Batu 5, Jalan Bintulu-Miri, ditenggelami banjir.
Hujan lebat yang berterusan sejak tengah malam tadi menyebabkan kawasan penempatan terbabit ditenggelami banjir pada paras kedalaman 0.6 hingga 0.9 meter.
Anggota bomba membantu memindahkan kesemua penduduk terjejas, termasuk warga emas ke lokasi selamat menggunakan segala aset yang ada berikutan paras air meningkat secara mendadak.
Pada masa yang sama, anggota bertugas turut membantu menyelamatkan pelbagai barangan peribadi milik penduduk terbabit, termasuk dokumen penting.
Kesemua mangsa kini ditempatkan di Dewan Suarah Bintulu di bawah pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.
Lima lagi kawasan rendah yang berisiko dilanda banjir kilat dipantau iaitu sekitar Jalan Tanjung Kidurong, Taman Milenium, Jalan Abang Galau dan di sepanjang Jalan Bintulu -Miri.
Sumber : Berita Harian